
BAU: Polis Daerah Bau melaksanakan program advokasi kesedaran keselamatan jalan raya sempena Op Selamat 26 bagi sambutan Aidilfitri 2026, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, program tersebut berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi di KM2 Jalan Bau-Krokong, berhadapan Mini Stadium Bau.
Menurutnya, pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada Op Selamat 26 yang dijalankan bermula 19 hingga 24 Mac 2026.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan serta panduan kepada pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya sepanjang tempoh Op Selamat,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bau turut dijemput untuk berkolaborasi dalam program tersebut sebagai usaha bersama meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
Selain itu, risalah keselamatan jalan raya daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut diedarkan kepada pengguna jalan raya di lokasi berkenaan.
Tambahnya, program advokasi itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Connie Chieng