
BAU: Polis Bau menganjurkan ceramah pencegahan jenayah komersial kepada kakitangan SJKC Keranji sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penipuan dan jenayah siber.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah Bau itu diadakan di sekolah berkenaan dari 1.00 hingga 2.00 petang, semalam.
Ceramah telah disampaikan oleh Sarjan Shamsul Ezam Sahat dan Koperal Iskandar Zulkarnain Zuraini dengan penyertaan seramai 14 kakitangan sekolah.
Mohd Haide berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai jenayah komersial yang sering berlaku di Daerah Bau serta trend terkini kes penipuan.
Antara topik yang dibincangkan ialah penipuan e-dagang, penipuan telefon, penipuan pinjaman tidak wujud, kes keldai akaun, penipuan cinta (love scam) serta penipuan pembayaran QRPay secara bersemuka.
Peserta turut diberikan panduan praktikal dan langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah komersial menerusi risalah yang diedarkan sepanjang program.
Selain itu, polis turut memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial termasuk talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, aplikasi Whoscall dan portal Semak Mule.
Mohd Haide berkata, program tersebut mendapat sambutan positif daripada peserta dan mencerminkan komitmen polis dalam membentuk komuniti yang celik digital serta lebih peka terhadap risiko jenayah siber.
Oleh Connie Chieng