Polis Afrika Selatan tahan dua suspek pembunuhan bekas juara tinju dunia

Facebook
WhatsApp
BEKAS juara tinju dunia Zolani Tete

JOHANNESBURG: Polis Afrika Selatan menahan dua individu semalam, berkait pembunuhan bekas juara tinju dunia Zolani Tete, yang ditembak mati pada Jumaat di luar rumahnya di Mdantsane, wilayah Eastern Cape, lapor Anadolu Ajansi.

Peninju berusia 38 tahun itu diserang hendap oleh dua lelaki bertopeng ketika beliau menunggu di dalam keretanya untuk pintu rumah dibuka.

Tete ditembak bersama seorang penumpang wanita berusia 27 tahun, yang kini dirawat di hospital.

Jurucakap polis Brig. Nobuntu Gantana berkata suspek berusia 30 dan 22 tahun itu ditahan dalam operasi susulan risikan membabitkan beberapa unit penguatkuasaan undang-undang.

Mereka kini dalam tahanan dan sedang disoal siasat, katanya.

Menteri Sukan Gayton McKenzie sebelum ini berkata pihak berkuasa akan melakukan segala yang mungkin untuk mencari pembunuh Tete.

‘‘Ini berita yang mengerikan; kami minta maaf Zolani Tete, berehat dengan tenang. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kami menemui pembunuh anda,’’ menurutnya di platform media sosial AS X.

Badan sukan Tinju Afrika Selatan turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Tete, penggiat tinju dan rakan-rakannya.

“Zolani Tete lebih sekadar seorang juara. Beliau ialah ikon tinju Afrika Selatan. Beliau mengukir namanya dalam sejarah sebagai salah seorang daripada beberapa juara dunia dua heavyweight negara,” katanya kenyataan.

Tete meraih gelaran dunia kelas junior-bantam Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dari 2014 hingga 2015 dan gelaran kelas bantam Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) dari 2017 hingga 2019.

Beliau juga memegang rekod kalah mati terpantas dalam perebutan gelaran dunia, menewaskan Siboniso Gonya dalam masa 11 saat pada 2017. – Bernama

Eksklusif: DUN Sarawak bersidang 12 Oktober?

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka diawalkan dan berlangsung antara 12 hingga 21 Oktober depan, menurut sumber yang boleh dipercayai. Sumber yang mengetahui perkembangan berkenaan berkata, tarikh tersebut telah dimaklumkan menerusi surat yang baru diterima pihak berkaitan, sekali gus mengesahkan persidangan DUN tidak akan berlangsung seperti kebiasaan pada November. “Ya, confirm (sah). Baru-baru ini kami sudah menerima surat 12 hingga 21 Oktober,” katanya. Satu lagi sumber yang mengetahui perkara itu turut mengesahkan bahawa persidangan DUN sememangnya akan diadakan pada Oktober, bukan lagi sekadar khabar angin. “Ini bukan lagi khabar angin, memang pasti sidang DUN akan diadakan sekitar Oktober,” katanya. Perkembangan itu menarik perhatian berikutan spekulasi bahawa persidangan DUN yang diawalkan mungkin mempunyai kaitan dengan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum ini berkata kemungkinan persidangan DUN diadakan pada Oktober tidak semestinya mempunyai kaitan dengan PRN. Beliau berkata persidangan DUN Sarawak lazimnya diadakan dua kali setahun dan perubahan bulan persidangan daripada November kepada Oktober bukan sesuatu yang luar biasa. “Saya melihatnya lebih kepada proses persidangan Dewan itu perlu diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam satu tahun,” katanya. Dalam perkembangan sama, Abdul Karim sebelum ini turut menyifatkan proses pelaksanaan pilihan raya menggunakan 99 kerusi DUN sebagai sukar diselesaikan dalam tempoh berbaki tahun ini, mengambil kira proses persempadanan yang perlu dilalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau berkata proses mempamerkan cadangan persempadanan sahaja boleh mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum melalui proses seterusnya di Parlimen. Oleh Shahrul Qaizat