Walaupun tarikh 22 Julai sudah berlalu, tidak terlambat bagi saya untuk membincangkan tarikh istimewa bagi negeri Sarawak ini.
Sejak diuar-uarkan pada 2014 menampakkan ia memberi semacam semangat baharu kepada penduduk Sarawak akan kebanggaan mereka terhadap tarikh ini.
Di satu pihak melihat tarikh tersebut sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak. Oleh itu banyak diviral mengenai hal ini. Malah ia menjadi ulang tayang berkali-kali atas rasa amat gembira tentang tarikh tersebut.
Ada juga pihak membuat pelbagai sambutan bagi mengenang tarikh keramat tersebut untuk Sarawak.
Polemik
Sebenarnya saya pernah beberapa kali menulis mengenai hal ini di akhbar. Malahan saya juga sering ditemuramah apabila tibanya hari bersejarah untuk Sarawak ini.
Sebagai anak Sarawak sememangnya kita amat bergembira dan bangga dengan tarikh itu kerana ia mempunyai makna tersendiri dalam sejarah Sarawak.
Sambutan setiap tahun pada tarikh berkenaan juga menjadi satu pertunjuk penting untuk rakyat Sarawak akan penat lelah pemimpin terdahulu untuk mencipta tarikh itu.
Namun demikian polemik mengenai maksud sejarah pada tarikh bagi mereka ini masih tidak berkesudahan. Di satu pihak mengatakan ia adalah tarikh kemerdekaan bagi Sarawak, manakala apa yang disambut sekarang tidak mencerminkan hal ini.
Bagi sarjana sejarah tempatan dan luar negara, apabila ditemuramah mengenai hal ini menyatakan ia merupakan tarikh ‘berkerajaan sendiri’. Mereka tidak melihat tarikh itu seperti tanggapan pertama tadi.
Menerusi rekod sejarah di Arkib Nasional di London juga tidak terjumpa mengenai pandangan pertama ini. Namun ia lebih kepada pandangan kedua iaitu ‘berkerajaan sendiri’. Walaupun hal ini mempunyai fakta sejarah tetapi polemik ini tidak berkesudahan mengenai makna tarikh yang dimaksudkan.
Proses
Oleh itu apa yang dikatakan sebagai taraf Sarawak sebagai ‘berkerajaan sendiri’ itu? Satu kebiasaan dalam jajahan British bahawa beberapa proses perlu dilakukan untuk memerdekakan jajahannya.
British sebuah kuasa Barat cukup teliti dalam memberi taraf kemerdekaan kepada tanah jajahannya. Hal ini boleh dilihat di Sri Lanka apabila British tidak memberi terus kemerdekaan kepada jajahannya itu.
Pilihan raya yang diadakan pada 1947 dan pembentukan kerajaan hanya meletakkan Sri Lanka tahap berkerajaan sendiri tetapi kedaulatannya masih dibawah British. Hanya pada 1948 barulah Sri Lanka diberi kemerdekaan apabila ‘Ceylon Freedom Act’ diluluskan oleh pihak British.
Ini adalah satu contoh jelas menunjukkan bahawa British tidak akan memberi kemerdekaan secara terus kepada tanah jajahannya tanpa melalui beberapa proses yang difikir wajar dibuat untuk tanah jajahannya.
Keadaan serupa juga berlaku di jajahan British di Myanmar (Burma ketika itu). Apabila Myanmar membentuk pentadbirannya sendiri pada 1937, sebuah kerajaan dibentuk dibawah pimpinan anak tempatan iaitu Ba Maw.
Namun British tidak memberi kedaulatan sepenuhnya kepada Ba Maw sehingga Ba Maw meletak jawatan. Perang dunia meletus menyebabkan proses kemerdekaan Myanmar lambat tercapai. Akhirnya kemerdekaan hanya diberi oleh British pada awal 1948.
Ketidaksediaan
Dua contoh itu jelas menunjukkan bahawa proses kemerdekaan melalui langkah-langkah yang perlu bagi meyakinkan British untuk memberi kemerdekaan kepada tanah jajahannya. Sebarang usaha melawan British juga akan ditentang dan ditekan.
Untuk Sarawak, sejarah awal pentadbiran Brooke sehingga meletus perang tidak membawa banyak kesan kepada pembangunan kepemimpinannya. Malah keadaan pendidikan Sarawak juga kebelakang.
Ramai anak-anak Sarawak semasa pentadbiran jajahan British buta huruf. Tidak ramai profesional yang ada di Sarawak ketika itu, manakala badan-badan pemerintahnya masih lagi berbentuk bukan demokratik kerana ahli-ahlinya dilantik oleh Raja Brooke.
Apabila British mengambil alih Sarawak, perkara ini diteruskan untuk melantik pembesar tempatan dan peniaga dalam Majlis Tertinggi dan Council Negeri.
Ekonomi Sarawak juga masih lagi pada tahap rendah bertunjangkan petanian. Walaupun Sarawak ketika itu pengeluar minyak tetapi sebahagian besar hasil daripada bahan bakar itu dikuasai syarikat asing.
Oleh itu kerajaan British berpendapat bahawa Sarawak belum lagi bersedia bukan setakat kemerdekaan tetapi pemerintahan sendiri walaupun kedua perkara ini menjadi agenda utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Jika dilihat sepanjang pemerintahan British ini juga, usaha dalam memperkasakan anak Sarawak untuk menuju pemerintahan sendiri dan kemerdekaan amat lambat.
Pihak Berkuasa Tempatan
Hasrat British untuk memandu penduduk Sarawak ke arah kemerdekaan tetap ada. Usaha awal ini dilakukan dengan mewujudkan pihak berkuasa tempatan di beberapa pekan dan kawasan luar bandar Sarawak. Tujuan penubuhan majlis ini adalah untuk melatih penduduk Sarawak mentadbir kawasan mereka sendiri.
Perkara yang diuruskan oleh majlis ini termasuklah pengutipan cukai, mengadakan sekolah dan mengurus soal kewangan. Peringkat awal ini menampakkan bahawa kerajaan British membahagikan majlis ini mengikut kaum.
Contohnya pada 1949 di Kalaka, ada dua pihak berkuasa tempatan iaitu mewakili orang Melayu dan orang Dayak, diwujudkan. Pihak kerajaan British berharap bahawa dalam tempoh setahun hingga tiga tahun, dua majlis tempatan ini akan digabungkan.
Pembentukan majlis tempatan ini merupakan usaha melatih rakyat Sarawak untuk mentadbir kawasan mereka sendiri. Sebelum ini hal mengenai melatih anak Sarawak (sebelum perang) tidak berlaku apabila kuasa dipegang oleh orang asing.
Ini kerana jawatan-jawatan tinggi dan mempunyai kuasa di satu-satu kawasan adalah dipegang oleh orang Barat iaitu Residen dan pegawai daerah. Semua perkara akan tertakluk kepada kedua-dua pegawainya.
Bagi orang tempatan pula hanya bertindak sebagai pembantu dan penguakuasaan seperti digerakkan oleh Pegawai Pribumi (native office), Temenggung, Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah. Selepas perang, hal ini dikekalkan namun peranan lebih besar diberi kepada penduduk tempatan dalam sebuah majlis tempatan.
Pemilihan
Satu pembaharuan diilakukan oleh kerajaan British apabila memperkenalkan pilihan raya tempatan di Kuching. Selepas itu pilihan raya umum pertama dilakukan bagi pemilihan Council Negeri pada 1959.
Walaupun pilihan raya itu tidak membawa pembentukan kerajaan negeri tetapi ia membawa pula pilihan raya umum yang bersejarah bagi Sarawak iaitu pada 1963. Pilihan raya inilah yang memberi makna besar kepada tarikh 22 Julai.
Ini kerana pada tarikh tersebutlah beberapa anak Sarawak dipilih untuk memimpin negeri Sarawak. Maka pada tarikh itulah kerajaan diwakili anak tempatan diwujudkan.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.