SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok bertindak pantas membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan utama di Jalan Kerupok, di sini, pagi tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.58 pagi yang memaklumkan kejadian pokok tumbang sehingga menghalang jalan dan menimpa tiang elektrik.
Susulan laporan itu, tiga anggota APM Saratok digerakkan ke lokasi pada 9.01 pagi dan tiba hanya tiga minit kemudian, iaitu pada 9.04 pagi, dengan jarak kira-kira tiga kilometer dari pangkalan.
Operasi melibatkan Prebet Domsen Enggul Mota, Prebet Fakhrullah Azhad Daud dan Prebet Stanley Reammy Steven dengan menggunakan dua gergaji rantai (chainsaw), selain kelengkapan keselamatan termasuk topi keledar, sarung tangan dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Menurutnya, sebelum kerja-kerja pemotongan dimulakan, ketua skuad terlebih dahulu memastikan keadaan di lokasi selamat serta semua anggota memakai PPE dengan sempurna bagi mengurangkan risiko sepanjang operasi.
“Operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang berjalan lancar dengan bantuan pihak Sarawak Energy Berhad. Pokok berjaya dialihkan dan kawasan berkenaan dibersihkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan selesai pada kira-kira 9.38 pagi, sekali gus membolehkan jalan berkenaan kembali dibuka dan dilalui oleh semua jenis kenderaan.
APM Saratok turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui kawasan yang berisiko berlaku pokok tumbang, serta segera menghubungi bilik gerakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Oleh Adi Safarman





