
LIMBANG: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang mengambil masa lebih 20 minit untuk memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan utama di Kampung Menuang, dalam keadaan hujan lebat, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun, berkata operasi itu diketuai oleh Lans Koperal Amirul Matusin, melibatkan sepasukan anggota dan sebuah kenderaan operasi.
“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.14 petang, dan anggota dikerahkan segera ke lokasi,” katanya kepada media, hari ini.
Menurut beliau, pokok yang tumbang berjaya dipotong menggunakan gergaji pemotong dan dialihkan ke bahu jalan bagi memastikan laluan utama ke kawasan kediaman penduduk tidak terganggu.
Oleh Adeng Edrus