
LUBOK ANTU: Hujan lebat disertai angin kencang petang semalam menyebabkan sebatang pokok engkabang dan sebatang pokok sawit tumbang menghalang laluan utama ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kesit dan Klinik Nanga Kesit di kawasan Lubok Subong, Engkilili.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata kejadian dilaporkan pada 5.54 petang selepas seorang penduduk, Kaunselor Jimmy Edat menghubungi pihak APM untuk memaklumkan insiden tersebut.

“Empat anggota pasukan MyASPA-O Bravo digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan dan tiba sekitar 6.37 petang.
“Pemeriksaan mendapati pokok engkabang setinggi kira-kira 80 kaki dan pokok sawit setinggi 20 kaki telah tumbang sepenuhnya menutup jalan menuju ke sekolah dan klinik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Desem berkata, kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok dilakukan menggunakan gergaji rantai dan parang, namun mengambil masa yang agak lama berikutan saiz pokok yang besar.
“Jalan hanya dapat dilalui oleh penunggang motosikal dan pejalan kaki selepas operasi pembersihan dijalankan.
“Penduduk juga boleh menggunakan laluan alternatif melalui sungai dengan bot atau perahu panjang untuk ke kawasan tersebut,” jelasnya sambil menambah operasi selesai sepenuhnya sekitar 12.29 tengah malam.
Oleh Adi Safarman