DALAT: Sepohon pokok Senayang dipercayai berusia lebih daripada satu abad akhirnya rebah pada 27 September, baru-baru ini.
Pokok berlokasi bersebelahan di belakang tandas awam di Tebingan Sungai Pekan Dalat (waterfront) itu tumbang pada awal pagi Ahad.
Menurut Theresa Charles yang bertugas di sana, pokok yang rendang itu tumbang pada kira-kira 6.40 pagi berkenaan.
“Ia berlaku pada kira-kira 6.40 pagi. Pada masa itu,saya sudah berada di sini,dan nasib baik orang ramai belum datang ke Pekan Dalat ini terutama sekali mereka yang menggunakan perahu,” ujarnya.
Biasanya katanya, penduduk yang menggunakan perahu akan menambatkan perahu mereka di jeti bersebelahan dengan pokok berkenaan.
“Sebenarnya, sudah lama ada tanda-tanda yang ia akan rebah, dan tak menyangka pada pagi kejadiaan ia akhirnya tumbang.
Saya sedikit sebanyak mengetahui mengenai perkara tersebut kerana saya sudah di sini semenjak 2011 lagi,” katanya.
Wanita pertengahan umur berasal dari Kampung Baru Dalat itu berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada pagi Isnin (28 September).
Berikutan kejadian tersebut, pihak Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) telah mengarahkan kakitangannya untuk membersihkan pokok yang dipanggil ‘Lagenda’ itu pada hari tersebut.
Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok berkenaan telah mendapat perhatian segelintir penduduk yang berada di pekan pada waktu itu.
Sementara itu, seorang penduduk dari kampung berdekatan hanya dikenali sebagai Tugok yang turut berada di sana pagi tersebut percaya bahawa pokok itu adalah berusia lebih daripada 100 tahun.
“Menurut seorang pemilik kedai di Pekan Dalat kayu semasa dia kecil lagi iaitu kira-kira 80 tahun yang lalu, pokok itu sudah ada di sini.
Justeru, dia yakin kini ia sudah berusia seratus tahun atau lebih. Pokok ini kelihatan sangat rendang kerana sejenis lagi pokok yang kita panggil ‘kayu Nunok’ juga menumpang dengan Pokok Sena yang merupakan pokok asal,” katanya.
Tambah Tugok, pada masa dahulu, ada tiga pohon pokok yang seumpamanya di tebingan Pekan Dalat berkenaan.
“Pokok ini boleh dikatakan amat berjasa kepada penduduk kita yang pergi ke pekan ini, kerana ia adalah tempat pilihan untuk menambatkan perahu sebelum wujudnya jeti-jeti di sini. Dan pokok yang tumbang ini adalah terakhir,jadi tak hairanlah ia menjadi buah mulut penduduk semenjak ia tumbang pada pagi Ahad,” katanya lagi.
Dan tak hairanlah setiap kali berlangsungnya regata di Pekan Dalat pada zaman itu, Pokok Sena inilah menjadi pilihan orang ramai bukan hanya untuk menambat perahu malah tempat berteduh.
Ada juga yang menyatakan bahawa ada sebuah gerai menempatkan enjin untuk memperoses getah di bawah pokok itu pada zaman dahulu.
Ia adalah tempat pekebun kecil getah di kawasan Daerah Dalat yang tidak mempunyai mesin untuk memperoses getah mereka. Sebelum wujudnya jalan raya pada akhir 1970-an, pengangkutan utama bagi penduduk tempatan ialah melalui sungai kerana kesemua kampung di daerah progresif ini berada di tebing Batang Oya.
Malah, penggunaan perahu masih kelihatan sehingga kini terutama mereka
bagi yang berada di Kampung seberang atau tempat lain seperti dari Ulu Batang Oya, termasuk Kampung di Batang Igan yang bertandang ke Pekan Dalat ini.
Oleh Henry B Siyu