
SEATTLE, Amerika Syarikat: Jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino meluahkan rasa kecewa dan hampa terhadap reaksi berhubung isu penggantungan Folarin Balogun, namun menegaskan perkara itu bukan alasan terhadap kegagalan pasukannya meneruskan saingan Piala Dunia selepas tumpas kepada Belgium pada perlawanan 8.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Penyerang Balogun mendapat kebenaran daripada FIFA untuk beraksi dalam perlawanan penting pusingan 16 terakhir menentang Belgium walaupun dilayangkan kad merah dalam aksi terdahulu, susulan gesaan Presiden AS, Donald Trump kepada badan induk bola sepak dunia berkenaan.
FIFA menjelaskan keputusan itu tidak dipengaruhi oleh Trump, namun kontroversi yang timbul selepas itu terus menjadi perhatian pada hari-hari terakhir kempen Piala Dunia AS.
Pochettino turut terpaksa mempertahankan kelayakan Balogun untuk diturunkan dalam perlawanan yang menyaksikan AS mengalami kekalahan besar 4-1 di Seattle.
“Saya amat kecewa dan hampa terhadap mereka yang sepatutnya memahami keadaan sebenar,” kata Pochettino, sambil menyifatkan pihak pengkritik sebagai mencampuradukkan unsur politik dengan keputusan FIFA.
“Saya tidak fikir perkara itu menjejaskan prestasi kami. Ia bukan alasan dan kami tidak boleh mencari alasan. Hari ini bukan hari kami.
“Namun secara peribadi, apakah tujuannya? Untuk menghina atau menerima pelbagai mesej buruk serta ugutan, sedangkan pendirian saya jelas bahawa saya ialah ketua jurulatih dan mengikut peraturan, pemain itu dibenarkan untuk beraksi?”
“Pendirian saya adalah untuk membimbing pasukan. Jika Balogun boleh diturunkan kerana jawatankuasa disiplin FIFA membenarkannya, maka tiada masalah,” katanya.
“Secara peribadi, saya amat kecewa dengan terlalu ramai pihak.”
Balogun, penjaring terbanyak AS dalam kejohanan berkenaan dengan tiga gol, disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang Belgium, namun gagal memberikan impak yang ketara.
AS tampil berbeza berbanding pasukan yang memulakan kejohanan dengan persembahan memberangsangkan di laman sendiri, sekali gus mencetuskan harapan tinggi dalam kalangan penyokong tempatan untuk melihat mereka mara lebih jauh dalam Piala Dunia.
“Ia adalah hari yang amat mengecewakan. Ia bukan hari kami, baik secara berpasukan mahupun individu,” kata Pochettino.
“Kami perlu menerima bahawa perkara seperti ini boleh berlaku, tetapi dalam kejohanan seperti Piala Dunia, apabila ia berlaku, anda tidak lagi mempunyai peluang kedua.”
Pochettino masih belum mengesahkan sama ada beliau akan meneruskan tugas bersama skuad kebangsaan AS, sambil berkata beliau perlu berehat terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan dengan pegawai persatuan bola sepak negara itu.
Beliau telah ditawarkan lanjutan kontrak bersama AS, namun bekas pengendali Tottenham Hotspur, Chelsea dan Paris Saint-Germain itu turut dikaitkan dengan kemungkinan kembali mengendalikan kelab bola sepak Eropah. – AFP