
MUKAH: Usaha pelajar Politeknik Mukah (PMU) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terus diterjemahkan menerusi Program Green Heart CSR 4.0 di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Wafi 2, baru-baru ini.
Program yang dijalankan dengan kerjasama pihak pengurusan PASTI berkenaan memberi impak positif dalam meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan serta keselesaan persekitaran pembelajaran kanak-kanak di pusat asuhan tersebut.
Pelajar semester empat Diploma Pengajian Perniagaan PMU memberi tumpuan kepada aktiviti gotong-royong, pembersihan serta penambahbaikan kemudahan di premis berkenaan.

Inisiatif itu turut menceriakan suasana pembelajaran selain mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.
Pengarah program, Muhammad Amir Hanafi Abdul Aziz berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu pelajar mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.
“Program ini memberi ruang kepada kami untuk menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti kebajikan, di samping meningkatkan kemahiran diri dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap usaha kecil itu dapat memberi semangat kepada kanak-kanak di PASTI untuk terus belajar dengan lebih bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah.
Sementara itu, salah seorang peserta program, Bob Zafran Zohan Affandi berkata, aktiviti yang dijalankan diharap dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyeronokkan kepada kanak-kanak.
Pensyarah pengiring, Siti Khadijah Sebli Joney pula menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik dalam membentuk sahsiah dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
Pengerusi PASTI Al-Wafi 2 turut merakamkan penghargaan kepada pihak PMU atas sumbangan yang diberikan, yang bukan sahaja menceriakan persekitaran pusat asuhan itu malah meningkatkan keselesaan kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran di situ.
Secara keseluruhannya, Program Green Heart CSR 4.0 dilihat sebagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.
Oleh Adele Rissa