
BINTANGOR: Program Mesra Rakyat (PMR) 2025 terus menjadi pemangkin kepada pembangunan akar umbi dan penambahbaikan infrastruktur luar bandar apabila lima projek pembekalan bahan binaan rumah panjang berjaya disiapkan di kawasan Parlimen Sarikei.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata projek tersebut memberi manfaat langsung kepada 133 isi rumah di lima rumah panjang terlibat.
“Projek ini bertujuan menambah baik keadaan kediaman penduduk, melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta meningkatkan tahap keselamatan struktur rumah panjang.
“Pelaksanaan projek di bawah PMR 2025 ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat.
“Melalui PMR, kita memastikan bantuan sampai terus kepada komuniti yang memerlukan bagi memperbaiki keadaan kediaman serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Usaha penambahbaikan infrastruktur luar bandar akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan agenda pembangunan luar bandar bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Rumah panjang yang menerima manfaat di bawah pelaksanaan PMR 2025 adalah Rumah Tunjang Naga, Rumah Anggok, Rumah Rendu China, Rumah Sumpun Rampai dan Rumah Johnson Edwin.
Wong Soon Mee selaku wakil Tiong Sii bersama pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) telah meninjau beberapa lokasi projek PMR di sekitar Bintangor semalam.
Lawatan tersebut turut melibatkan penyaksian penyerahan projek yang telah siap dilaksanakan bagi lima projek pembekalan bahan binaan rumah panjang tersebut.
Turut hadir Pegawai SDO, Nur Syahida, serta Tuai Rumah Kinchu Ajan.
Oleh Earl Anek