
BINTANGOR: Lima rumah panjang di Meradong telah menerima bantuan bahan binaan di bawah Program Mesra Rakyat (PMR) 2025.
Bantuan tersebut disalurkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Hadir selaku wakil beliau untuk menyaksikan penyerahan bantuan ialah Wong Soon Mee dan turut disertai oleh pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Nina Azirina.
Penerima bantuan adalah Rumah Ujang Brinau di Sungai Baron (12 pintu), Rumah Bala Gawan di Ulu Minan (39 pintu), Rumah Sap (25 pintu), Rumah Imah Tuah di Sungai Setubah (sembilan pintu) dan Rumah Buan Nyambar (17 pintu).
Menurut Huang, bantuan tersebut bertujuan untuk memudahkan penduduk melakukan kerja baik pulih, selain meningkatkan keselamatan dan keselesaan persekitaran kediaman mereka.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan masyarakat luar bandar menerima sokongan yang sewajarnya, khususnya dari segi kemudahan tempat tinggal yang selamat dan selesa.
“Program pembangunan berorientasikan rakyat akan diteruskan secara konsisten agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi atau latar belakang ekonomi.
“Ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat, seiring usaha kerajaan mempercepat pembangunan luar bandar” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Oleh Earl Anek