
LIMBANG: Persatuan Melayu Limbang (PML) meneruskan pemberian bantuan biasiswa kepada anak ahli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam tempatan, sejak program itu diperkenalkan pada 2004.
Pengerusinya, Mohamad Abu Bakar, berkata inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga mereka, terutama ketika mendaftar masuk ke universiti.
“Program yang dilaksanakan sejak 21 tahun lalu ini juga bertujuan mengangkat serta memperkasa modal insan dalam kalangan ahli PML,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan, program itu menunjukkan impak positif apabila semakin ramai anak ahli berjaya ditawarkan ke universiti dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, setiap pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM500, khusus untuk mereka yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam.
Pada tahun ini, seramai enam pelajar ijazah sarjana muda, dua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima sumbangan biasiswa daripada PML.
Oleh Adeng Edrus