KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit, susut kepada 48.9 pada Januari 2021 berbanding 49.1 bagi Disember 2020.
PMI keseluruhan IHS Markit adalah petunjuk tunggal komposit membabitkan prestasi sektor pembuatan.
Menurut IHS Markit, perniagaan turut memberi isyarat bahawa pemulihan sektor pembuatan Malaysia terjejas pada awal 2021 berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 selain sekatan lebih ketat dalam usaha membendung penularan virus tersebut.
“Kedua-dua aspek output dan tempahan baharu berkurangan pada Januari yang dijejaskan oleh penularan pandemik manakala jualan eksport turut kehilangan momentum apabila beberapa pasaran luaran turut menyaksikan peningkatan semula kes jangkitan.
“Sekatan pergerakan di peringkat antarabangsa yang bertujuan mengekang penularan Covid-19 sebaliknya memberi impak ketara terhadap rantaian bekalan apabila pihak pengeluar melaporkan kesukaran mendapatkan sumber serta menerima input,” katanya dalam kenyataan semalam.
Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua paras pengeluaran dan tempahan baharu telah berkurangan pada Januari walaupun tidak ketara sepertimana dicatatkan pada Disember lepas.
Kalangan pengeluar Malaysia juga merekodkan tunggakan kerja lebih stabil sebagaimana dipaparkan menerusi tempoh tinjauan terbaharu selepas mengalami penyusutan selama 28 bulan, sekali gus menunjukkan bahawa tekanan lebih membabitkan kapasiti sedia ada.
“Bagaimanapun, ada bukti menunjukkan bahawa tekanan tambahan itu disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja bagi memenuhi tempahan akibat pandemik tersebut. Malah, ada firma yang menunjukkan paras pekerjaan merosot sedikit pada Januari selepas mencecah hampir stabil pada Disember tahun lepas.
“Walaupun pelaksanaan sekatan pergerakan baharu di serata dunia dan menyebabkan bekalan tertangguh, kalangan pengeluar sebaliknya kekal yakin bahawa output akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan harapan pandemik ini akan berakhir dan dapat memulihkan pasaran luaran serta domestik,” katanya.
Sementara itu, IHS Markit turut mengumumkan bahawa PMI bagi ASEAN mencatat 51.4 pada Januari 2021 iaitu meningkat daripada 50.8 pada Disember 2020 yang memaparkan pemulihan sektor pembuatan serantau sejak Mei 2018.
“Penyumbang utama pemulihan kukuh itu adalah pengembangan pantas membabitkan pembuatan serta jumlah tempahan baharu.
“Output juga meningkat pada kadar paling pantas dalam tempoh dua setengah tahun manakala peningkatan kerja-kerja baharu juga terpantas sejak Julai 2014,” katanya. – Bernama