
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah petang semalam sebelum baginda berangkat pulang ke Bandar Seri Begawan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata Sultan Hassanal Bolkiah berada dalam keadaan baik dan proses pemulihan berjalan lancar selepas baginda dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada Sabtu lepas.
“Semoga Baginda Tuanku dikurniakan keafiatan dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam,” kata beliau.
Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei lepas.
Baginda berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan dan kemudian berehat di hotel setelah dibenarkan keluar dari IJN.
-Bernama