PM ucap Selamat Hari Sarawak

Facebook
WhatsApp
KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilihat beredar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilihat beredar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.• Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengucapkan Selamat  Hari  Sarawak kepada semua rakyat    Bumi Kenyalang.

Beliau berkata, seluruh rakyat menyambut Hari Sarawak untuk mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin  serta  pejuang kemerdekaan negeri itu.

“Perpaduan nasional adalah elemen penting dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan stabil. Usaha menyatupadukan rakyat menerusi pengukuhan integrasi kaum di negara ini telah dimulakan sejak sekian lama.

“Dalam konteks Sarawak, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk meneruskan agenda ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri Bumi Kenyalang ini,” katanya dalam catatan yang dimuat naik menerusi  Facebook rasmi beliau semalam.

Menurut perdana menteri, Sarawak adalah antara negeri yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan PN dalam apa juga program pembangunan, terutama bagi merapatkan jurang ekonomi antara wilayah di negeri itu.

“Ini selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah,” katanya.

Dalam catatan itu,   Muhyiddin turut memaklumkan beliau sempat meraikan sambutan Hari Sarawak bersama Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam jamuan tengah hari di bangunan Parlimen di sini semalam.

Sambutan Hari Sarawak 2020 bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’  diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dari Miri semalam.

Kerajaan negeri  menetapkan Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai bermula 2016 dan diwartakan sebagai hari cuti umum bagi memperingati tarikh penyerahan pentadbiran negeri kepada rakyat tempatan  oleh  gabenor kerajaan Inggeris terakhir  Sir Alexander Waddell pada 1963. – Bernama