
Paetongtarn Shinawatra. Foto AFP
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, memohon maaf pada Khamis susulan kebocoran rakaman panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang mencetuskan kemarahan meluas dan meletakkan kerajaannya di ambang kejatuhan.
Rakan utama gabungan pemerintahnya menarik diri dan tekanan semakin meningkat supaya beliau meletakkan jawatan atau mengumumkan pilihan raya sekali gus mencetuskan satu lagi krisis politik di negara itu.
Negara itu juga sedang berusaha untuk merangsang semula ekonominya suram serta mengelakkan tarif perdagangan berat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Parti konservatif Bhumjaithai menarik diri pada Rabu dengan menyatakan bahawa tindakan Paetongtarn dalam panggilan yang bocor itu mencemarkan maruah negara dan angkatan tentera.
Ketika tekanan meningkat pada Khamis, Paetongtarn, anak kepada Thaksin Shinawatra memohon maaf dalam satu sidang media bersama ketua-ketua tentera dan tokoh kanan partinya, Pheu Thai.
“Saya ingin memohon maaf atas rakaman audio perbualan saya dengan pemimpin Kemboja yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat,” kata Paetongtarn kepada wartawan.
Dalam panggilan itu, Paetongtarn kedengaran membincangkan pertikaian sempadan dengan Hun Sen yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Kemboja pada 2023 selepas empat dekad, namun masih mempunyai pengaruh besar.
Beliau merujuk kepada pemimpin veteran itu sebagai ‘bapa saudara’ dan menyebut komander tentera Thailand di timur laut negara itu sebagai lawannya, satu kenyataan yang mencetuskan kritikan hebat di media sosial.
Kehilangan 69 ahli parlimen dari parti Bhumjaithai menyebabkan Paetongtarn hanya tinggal bilangan undi yang cukup tipis untuk mengekalkan majoriti di parlimen, dan pilihan raya kelihatan semakin hampir iaitu hanya selepas dua tahun pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Dua lagi parti gabungan, United Thai Nation dan Parti Demokrat dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Khamis untuk membincangkan keadaan semasa.
Paetongtarn berharap permohonan maafnya dan kesepakatan yang ditunjukkan bersama tentera dapat meyakinkan mereka untuk terus menyokong gabungan pemerintah.
Kehilangan salah satu daripada parti itu besar kemungkinan akan menamatkan pemerintahan Paetongtarn yang akan membuka jalan sama ada untuk pilihan raya atau usaha parti-parti lain membentuk gabungan baharu.
Thailand mengalami 12 rampasan kuasa sejak berakhirnya pemerintahan monarki mutlak pada 1932 dan krisis semasa ini mencetuskan spekulasi kemungkinan rampasan kuasa yang baru.
Jika Paetongtarn digulingkan melalui rampasan kuasa, beliau akan menjadi ahli keluarga ketiga iaitu selepas ibu saudaranya Yingluck dan bapanya Thaksin Shinawatra yang disingkirkan tentera daripada jawatan Perdana Menteri. – AFP