
KOTA SAMARAHAN: “Tidak seperti Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lama… yang cakap tak serupa bikin,” sindir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan kerusi Parlimen.
Beliau menyifatkan sokongan Anwar terhadap cadangan menambah kerusi Parlimen sebagai satu isyarat positif, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.
Semalam, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan secara dasar bersetuju untuk menambah jumlah kerusi Parlimen, namun beliau tidak dapat memberi komitmen memastikan Sabah dan Sarawak menerima satu pertiga kerusi seperti yang dihasratkan di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri menegaskan perkara itu tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas yang menentukan persempadanan dan jumlah kerusi.
Abdul Karim berkata jawapan Anwar adalah tepat kerana isu penambahan kerusi bukan berada dalam bidang kuasa eksekutif.
“Sebagai Perdana Menteri, bukan beliau yang menentukan. Beliau hanya boleh beri pandangan peribadi atas permintaan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Untuk terus lompat ke satu pertiga, itu bidang kuasa SPR, satu badan bebas ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukannya Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan, di Majlis Perbandaran Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan sokongan Perdana Menteri walaupun dibuat ketika suasana politik Sabah menuju pilihan raya, tetap memberi makna kerana sukar untuk ditarik balik.
“Walaupun ada yang melihat secara sinis, ‘kerana pilihan raya, ya nya berik tauk’, sekurang-kurangnya bila Perdana Menteri sudah meluahkan pandangan, ia susah untuk ditarik balik,” katanya.
Menurut Abdul Karim, keadaan kini memberi sedikit sinar terutama selepas Sarawak menaikkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 selepas penambahan 17 kerusi baharu.
“Kalau SPR melihat kepada asas itu, mungkin tujuh, lapan atau sembilan kerusi Parlimen baharu boleh diwujudkan. Tetapi prosesnya mesti melalui Parlimen. DUN hanya boleh mencadang kerusi di peringkat negeri,” jelas beliau.
Oleh Shahrul Qaizat