KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memastikan setiap pihak menggalas tugas masing-masing sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan berikutan bencana banjir yang melanda negara.
Beliau berkata, segala bantuan yang telah diumumkan mesti segera dihulur kepada mereka yang terkesan.
“Saya turut mengingatkan anggota Kabinet bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara.
Saya yakin dan percaya, dengan tumpuan dan dedikasi dari semua, cabaran ini dapat kita lalui dengan tenang, sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan antara dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pertama tahun ini yang dipengerusikannya di Perdana Putra, Putrajaya pagi semalam.
Menurutnya, antara penekanan mesyuarat berkenaan adalah isu pengurusan banjir dan pasca banjir serta penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia atas sebab penularan varian Omicron di Tanah Suci.
Ismail Sabri dalam ciapan di Twitternya pula memaklumkan 36,087 atau 76 peratus ketua isi rumah telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), setakat 1.00 petang semalam.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.
Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Disember tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. – Bernama