KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bertanya khabar, mendengar keluh kesah dan permintaan petugas barisan hadapan negara menerusi sidang video.
Menzahirkan penghargaan kepada mereka yang bertugas bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19, Muhyiddin turut tidak lupa menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.
“Saya nak ucapkan terima kasih kerana berpeluang bercakap secara santai (dengan wakil petugas barisan hadapan) dan saya sekali lagi iktiraf peranan dan sumbangan besar yang saudara-saudari telah mainkan untuk membantu meletakkan Malaysia di satu keadaan yang lebih baik daripada masa-masa yang lepas,” katanya.
Dalam sidang video kira-kira 30 minit itu, perdana menteri sempat berbual dengan wakil petugas barisan hadapan iaitu Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Roslan Wahab, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia Kamarudin Mohd Rapig dan Pegawai Kesihatan Putrajaya Dr Zainal Abidin Abu Bakar.
Muhyiddin turut berseloroh dengan berkata, “Jadi sekali lagi nak ucapkan Selamat Hari Raya dan kalau makan ketupat tu jangan lupa saya dan makan kuih pun begitu juga.
“Tapi almaklum tak boleh pergi ke mana-mana, tetapi saya harap semua dalam keadaan sukacita, relaks sikitlah kalau boleh dan lepas ini kita akan bertemu lagi di masa-masa akan datang. Selamat Hari Raya kepada semua, maaf zahir dan batin,” katanya.
Ini bukan kali pertama sidang video perdana menteri bersama petugas barisan hadapan diadakan.
Sebelum ini mengambil semangat amalan normal baharu dan penjarakan sosial sepertimana digalakkan kerajaan kepada rakyat untuk diamalkan, Muhyiddin pernah mengadakan sidang video bersama petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh. – BERNAMA