
BANGKOK: Landskap politik Thailand dilanda ketidakpastian selepas Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat memecat Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, sekali gus membuka ruang perebutan sengit di parlimen untuk mengisi kekosongan tampuk pimpinan.
Dengan 143 kerusi Parlimen, parti pembangkang iaitu Parti Rakyat (PP) kini muncul sebagai penentu kuasa setelah menguasai hampir satu pertiga kerusi dewan.
Parti itu kini didekati secara agresif oleh parti pemerintah Pheu Thai dan Bhumjaithai untuk membentuk majoriti.
Sokongan PP dilihat mampu menjadi penentu arah pentadbiran baharu negara itu.
Namun, PP menetapkan dua syarat — pembubaran parlimen dalam tempoh empat bulan dan satu referendum perlembagaan untuk meminda piagam negara dalam jangka masa itu.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat, Prof Madya Dr Chaiwat Meesanthan, berkata ketika ini terdapat dua calon utama perdana menteri iaitu Chaikasem Nitisiri dari Pheu Thai dan Anutin Charnvirakul dari Bhumjaithai.
“Kedua-dua parti sedang giat mendapatkan sokongan bagi mengumpul sekurang-kurangnya 246 undi di parlimen.
“Keputusan akhir bergantung kepada rundingan politik dan pembentukan gabungan, dengan faktor utama sama ada calon mampu mendapatkan sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen,” katanya kepada Bernama.
PP merupakan kesinambungan daripada Parti Future Forward yang ditubuhkan pada 2018, kemudian Parti Move Forward yang memenangi jumlah kerusi terbesar dalam pilihan raya umum 2023 tetapi gagal mendapatkan majoriti dalam parlimen dwidewan untuk membentuk kerajaan.
Parti Move Forward dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Ogos 2024, dengan hak pilihan raya ahli jawatankuasa eksekutifnya digantung selama 10 tahun kerana kempen utama mereka untuk meminda Seksyen 112 Kanun Keseksaan, atau undang-undang lese-majeste.
Kini dipimpin oleh Natthaphong Ruengpanyawut, Parti Rakyat pada Isnin mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana kerajaan.
Mesyuarat bersama Ahli Parlimen dan jawatankuasa eksekutif parti itu dijadual berlangsung Selasa, dengan keputusan mengenai calon perdana menteri yang akan disokong dijangka diumumkan menjelang pengundian parlimen minggu ini.
Gabungan kerajaan sedia ada yang diketuai Pheu Thai bersama 10 parti lain memegang 253 kerusi, manakala blok pembangkang diketuai Parti Rakyat menguasai 239 kerusi termasuk Bhumjaithai.
Di bawah peraturan parlimen, calon perdana menteri perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 50 Ahli Parlimen sebelum Dewan boleh mengundi.
Calon perlu memperoleh majoriti lebih separuh daripada 492 kerusi Dewan Rendah atau sekurang-kurangnya 247 undi, untuk dipilih sebagai perdana menteri,
Selain Chaikasem dan Anutin, tiga lagi calon yang masih layak daripada senarai pencalonan pilihan raya 2023 ialah Pirapan Salirathavibhaga daripada Parti United Thai Nation, Jurin Laksanawisit daripada Parti Demokrat dan bekas Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha, juga daripada United Thai Nation.
Media tempatan melaporkan Dewan Rakyat dijangka bersidang pada 4 dan 5 Sept untuk membincangkan pencalonan perdana menteri.
Speaker Dewan, Wan Muhamad Noor Matha dilaporkan berkata beliau telah mengarahkan setiausaha agung Dewan menyelaras proses penerimaan pencalonan daripada parti politik. – Bernama.