PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 September ini.
Beliau berkata kesemua ikhtiar itu merupakan langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
“Kendatipun pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan, saya, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri tidak pernah menganggap bahawa kita sudah selesai semua masalah dan ini bukan tirai untuk menutup keresahan rakyat. Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.
“Maka, di ambang kemerdekaan ini, saya terpaksalah berikhtiar, mencari jalan, mengambil langkah mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara … untuk anak-anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu,” kata Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – Bernama




