Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • PM Anwar ucap terima kasih, ulangi permohonan maaf lewat tunai janji – PMO
  • NASIONAL

PM Anwar ucap terima kasih, ulangi permohonan maaf lewat tunai janji – PMO

Utusan Sarawak 2 days ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat terhadap kesabaran dan sokongan yang diberikan ketika usaha-usaha memperbaiki negara dilaksanakan. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga mengulangi permohonan maaf yang disampaikan Anwar semalam kerana kelewatan menunaikan sebahagian janji sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Sejak hari pertama memimpin negara pada penghujung 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti untuk memperbaiki keadaan kewangan negara demi untuk kesejahteraan rakyat.

“Akhirnya apabila keadaan kewangan negara beransur pulih, baharu sedikit demi sedikit bantuan kepada rakyat diberikan untuk meringankan beban dalam ketidaktentuan ekonomi global ini,” katanya. 

Beliau berkata pendedahan wartawan Bradley Hope dan Tom Wright bahawa Malaysia sebenarnya kerugian ASD18 bilion akibat Skandal 1MDB baru-baru ini, gambaran ‘kerosakan’ yang diwarisi Kerajaan MADANI daripada pentadbiran terdahulu.

Tunku Nashrul berkata walaupun segelintir pihak termasuk ketua pembangkang menghina, mencerca dan mengaibkan Perdana Menteri hampir setiap hari menggunakan media sosial untuk memperlekehkan segala usaha Kerajaan MADANI, Anwar sedikit pun tidak berganjak dan berkecil hati.

Beliau berkata kerajaan terus komited membantu rakyat meskipun pihak tertentu termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan segelintir pimpinan pembangkang memperlekeh usaha-usaha yang dilaksanakan.

Ini termasuk penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 seliter dan bantuan RM100 secara sekali beri kepada semua golongan dewasa di Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri semalam. 

“Sekurang-kurangnya penjimatan kos RON95 dapat membantu serba sedikit meringankan beban rakyat dan perlu diingat, inilah buat kali pertama semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima sesuatu daripada kerajaan sempena Bulan Kebangsaan,” katanya. 

Beliau berkata kesemua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua pada 31 Ogos. 

Penghargaan khas itu diumumkan dengan mengambil kira keupayaan fiskal negara serta sebagai tambahan kepada perkara direncanakan dalam Belanjawan 2025 dan pengumuman semalam khusus untuk menangani beban kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat.

“Saya ingin mengambil sedikit masa untuk membantu Datuk Seri Sanusi memahami perbezaan antara ‘bantuan’ dan ‘belanjawan’, satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar.

“Semua inisiatif yang diumumkan semalam bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026, Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada 2026 sebab itu namanya Belanjawan 2026,” katanya. 

Bantuan dan inisiatif lain untuk tahun depan akan diumumkan semasa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini. 

Tunku Nashrul berkata Kerajaan MADANI akan berkongsikan lebih banyak kemakmuran kepada rakyat Malaysia sekiranya tidak berlaku gangguan atau salah faham yang boleh mengganggu fokus pentadbiran negara.

“Pejabat Perdana Menteri sentiasa bersikap terbuka sekiranya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah memerlukan taklimat ringkas, atau terperinci, supaya tidak lagi ‘senget’, ‘gelong’ dan tersasar dalam membuat ulasan, lebih-lebih lagi bila melibatkan fakta asas pengurusan kewangan negara,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: 463 pengamal, veteran media terima manfaat Tabung Kasih@HAWANA
Next: Anwar titip pesanan perhimpunan sabtu berlangsung aman, tertib

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.