
GYEONGJU, Korea Selatan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang bermula esok hingga 1 November.
Perdana Menteri, yang tiba di hotel di sini pada 9.05 malam waktu tempatan (8.05 waktu Malaysia) disambut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta delegasi Malaysia.
Terdahulu, pesawat yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia mendarat di Pangkalan Udara Gimhae di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan, pada 7.41 malam (6.41 petang waktu Malaysia).
Perdana Menteri disambut oleh Lim Kimo Ketua Preparatory Office for APEC 2025, Naib Gabenor Gyeongju Hojun Song dan Panglima Udara ke-5 Brigedier Jeneral Kang Geun-shin.
Selain itu Anwar juga turut disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid.
Esok, jadual padat menanti Perdana Menteri apabila beliau dijadual menyampaikan kenyataan rasmi negara semasa Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu.
Anwar dijangka menekankan kepentingan keterangkuman dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama serantau untuk pembangunan mampan.
Beliau kemudiannya akan mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan wakil dari Nvidia dan YTL Power.
Pada tengah hari, Perdana Menteri akan bertemu dengan Gabungan Perniagaan APEC Amerika Syarikat, diikuti pertemuan secara individu dengan Namhae Chemical Corp dan JS Link, secara berasingan.
Namhae Chemical, syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, mengeluar dan menjual bahan kimia pertanian, manakala JS Link, syarikat bioteknologi berasaskan genom, menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan analisis genom di Korea Selatan dan di peringkat antarabangsa.
Anwar kemudiannya akan menghadiri majlis makan malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC sebelum mengakhiri hari tersebut dengan mengadakan sidang akhbar.
Malaysia merupakan antara 12 negara pengasas APEC. Negara-negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.
Pada masa ini, APEC terdiri daripada 21 ekonomi, dengan penduduk berjumlah hampir tiga bilion orang yang merangkumi 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021.
-BERNAMA