
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima penyerahan rasmi dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan beliau di Dewan Rakyat esok.
Perdana Menteri berkata penyerahan dokumen itu menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.
“Penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.
“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK13 di Dewan Rakyat esok,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan.
Terdahulu, Anwar menerima dokumen RMK13 itu daripada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Seri Perdana, Putrajaya.
-Bernama