Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • PM Anwar setuju ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu tidak dilaksana
  • PENDIDIKAN

PM Anwar setuju ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu tidak dilaksana

Utusan Sarawak 7 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027, tidak dilaksanakan.

Beliau berkata perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.

“Cadangan awal (ujian diagnostik) itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk ke sekolah… tetapi difikirkan nanti ia jadi diskriminatif.

“Maknanya, ada anak-anak ini nak masuk darjah satu, prasekolah, (dikatakan) tidak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu, ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta kerajaan meneliti pelaksanaan ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ketiadaan ujian itu tidak bermakna pemantauan terhadap tahap kesiapsiagaan murid diabaikan, sebaliknya tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama oleh guru dan ibu bapa melalui aspek pemerhatian berterusan.

Sementara itu, beliau menegaskan matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan kanak-kanak berusia enam tahun mendapat ruang pembelajaran yang optimum.

Anwar berkata meskipun terdapat gesaan supaya kemasukan ke Tahun Satu seawal umur enam tahun ditangguhkan atas pelbagai kebimbangan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global dengan 137 negara telah melaksanakannya.

Beliau berkata tambahan RM800 juta akan diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.

“Memang benar, saya tak nafikan kalau ikut Kementerian (Pendidikan) pada peringkat awal, dia kata boleh tak kita tangguh setahun lagi. Saya fikir agak berbeda, saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita itu rugi setahun.

“Anak-anak kita generasi sekarang tak seperti dulu, umumnya mereka jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka…jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tak boleh. Tapi anak-anak kita jauh lebih pintar, yang penting, beri pendedahan kepada mereka,” katanya.

Berhubung isu kesesakan sekolah, Anwar yang pernah menjawat Menteri Pelajaran dari 1987 hingga 1990 mengakui masalah tersebut terutama di bandar, namun pelaksanaan dua sesi persekolahan boleh dipertimbangkan bagi murid prasekolah dan Tahun Satu.

Sementara itu, beliau berkata walaupun kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu belum diwajibkan di peringkat awal, ibu bapa digalakkan untuk mempertimbangkannya.

Perdana Menteri berkata pendaftaran kemasukan bagi sesi 2027 akan dilaksanakan dari 15 Feb hingga 31 Mac ini, manakala kanak-kanak berusia lima tahun boleh mendaftar prasekolah secara pilihan mulai 6 April 2026.

“Itupun saya ingin menggesa sebaik mungkin semua anak-anak mendaftar. Mengapa kita beri pilihan? Kerana pada peringkat awal, kita tidak mahu ibu bapa merasakan kejutan atau paksaan. Tetapi kita sediakan ruang. Ada setahun untuk masuk ke Darjah 1,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan melaksanakan dasar itu akan menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat susulan peluasan pendidikan percuma kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun.

“Sebab itu saya lihat Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan telah bergegas untuk melihat semua aspek ini. Aspek dana, aspek persiapan kurikulum, aspek sikap ibu bapa, itu diteliti sekarang supaya kita dapat laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bengkel Innovate Sarawak bantu bakal usahawan mulakan perrniagaan dengan yakin
Next: Perkukuh sokongan pendidikan golongan autisme, KAA terima van 10 tempat duduk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.