
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu supaya siasatan telus dijalankan terhadap kes membabitkan anak bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan beliau kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan kesejahteraan buat Rafizi serta keluarga.
Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini memberi jaminan semua siasatan berhubung insiden terhadap anak Rafizi dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak.
Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian itu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan anak bekas timbalan presiden PKR itu diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya yang dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurun penumpang.
Rafizi yang mengesahkan kejadian itu berkata anaknya telah diheret oleh seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan selain beliau mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal.
Ekoran itu, anaknya telah dibawa ke sebuah hospital untuk rawatan.
-Bernama