
KAJANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh lapisan kepimpinan masyarakat dan jentera kerajaan supaya memanfaatkan bulan Ramadan ini bagi menyantuni golongan rakyat yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.
Beliau berkata, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelarasan gaji, masih terdapat kelompok kecil masyarakat yang tidak mendapat manfaat sepenuhnya bantuan itu.
“Kita jarang bicara soal mereka dan kita di semua peringkat agak sibuk dalam urusan masing-masing. Jadi saya nak ambil kesempatan ini menyeru semua jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung serta pemimpin belia untuk tingkatkan amal kebajikan kita.
“Jadikan Ramadan ini satu kesempatan untuk kita mengangkat martabat semua lapisan masyarakat dengan meringankan beban mereka,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang yang dihadiri sekitar 2,000 jemaah hari ini.
Anwar berkata, bulan Ramadan seharusnya dijadikan peluang terbaik untuk meringankan beban rakyat dengan mengenal pasti individu, warga emas atau pesakit di setiap pelosok kampung yang memerlukan bantuan segera. – Bernama