PM Anwar dikurnia Darjah Kerabat Brunei

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman hari ini. Anwar hari ini dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) dengan membawa gelaran Dato Laila Utama. Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Anugerah itu membawa gelaran Dato Laila Utama.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung pada majlis menghadap di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman di sini yang turut disaksikan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah. 

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mengaminkan doa selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) di Istana Nurul Iman hari ini. Anwar menerima darjah kebesaran itu yang membawa gelaran Dato Laila Utama. Foto BERNAMA

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Terdahulu, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman kira-kira 11.00 pagi.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar dijangka menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai jawatankuasa kerjasama pengurusan bencana.

Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.- Bernama