
MARUDI: Seramai 14 peserta Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Marudi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan aktiviti seni kraf bertemakan patriotisme yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mereka bentuk kipas tangan berlogo ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’ serta menghasilkan penanda buku bertema kemerdekaan.
Pegawai KEMAS Marudi, Therry Noel George Anyi berkata, program ini merupakan sebahagian daripada perisian pembelajaran Kelas PLF yang dirancang oleh Guru PLF, Rita Sultan, bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan bermakna.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen yang ditunjukkan. Kehadiran dan semangat mereka membuktikan bahawa aktiviti luar kelas seperti ini sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa program ini bertujuan memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan kecintaan terhadap negara dalam kalangan peserta.
“Selain menggalakkan kreativiti menerusi aktiviti seni kraf, ia juga memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara peserta. Lagu-lagu patriotik turut dinyanyikan bagi menyemai semangat kemerdekaan,” tambah beliau.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, Pengurus NADI Marudi Anita Saili, Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Baram Syarifah Azar, serta kakitangan KEMAS Marudi yang lain.
Oleh Jiku Juguong