Oleh Dilah Tuah
PUISI merupakan karya sastera yang ditulis menggunakan ayat berkualiti tinggi, mempunyai keindahan yang hebat, mengandungi ketulusan atau intensiti emosi serta pemikiran dan wawasan yang mendalam. Dalam dunia kesusasteraan di Malaysia, puisi dinobatkan sebagai ‘permata sastera’ oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Hal ini disebabkan oleh bentuk puisi yang sarat dengan segala sifat kekentalannya, yang mampu menjadikan khalayak pembaca lebih bijaksana. Pandangan ini selari dengan Robert Frost (1939) dalam Collected Poems yang mengatakan bahawa puisi bermula dengan kegembiraan dan berakhir dengan kebijaksanaan.
Daripada kata kunci gembira dan bijaksana, jelas terdapat satu proses kreativiti yang cukup rinci perlu dilalui oleh seseorang penyair dalam menghasilkan puisi. Menurut Norhayati Ayit (2020) dalam Muhammad Haji Salleh dan Siti Zainon Ismail sebagai Penyair Alam, proses kreativiti ini memerlukan penyajak menterjemahkan pemikiran, emosi, imaginasi, nada, irama, susunan kata-kata serta kesan pancaindera dan kiasan-kiasan yang dilalui, disaring hayat dan disusun hingga menjadi jambangan kata-kata indah dan berseni.
Sehubungan itu, untuk menghasilkan sebuah jambangan puisi yang indah dan berseni, ia menuntut pemilihan diksi yang terbaik dalam susunan yang terbaik. Justeru, puisi yang sarat dengan unsur pleonasme, pasti menimbulkan kekeliruan kepada pembaca untuk mentafsir maknanya. Dalam istilah bidang kesusasteraan, pleonasme merujuk kepada penggunaan gaya pengulangan seperti pengulangan diksi, frasa, kalimat dan rangkap yang dianggap membazir atau tidak memberi makna terhadap keseluruhan sesebuah puisi. Walaupun tiada pengulangan dilakukan, makna atau penjelasan yang diberikan sebelumnya melalui diksi, frasa, kalimat atau rangkap itu sudah mencukupi.
Dari sudut gaya, pemakaian unsur pleonasme yang tidak terkawal (kebanyakannya tidak disedari oleh penyair) akan merencatkan mutu sesebuah puisi. Hal ini turut mengundang beberapa perkara yang boleh melemahkan kualiti puisi seperti klise, prosaik, imejan bercampur, idea tergantung dan bentuk pengucapan yang konvensi.
Sehubungan itu, dalam ulasan karya kali ini, fokus perbincangan akan menjurus kepada analisis gaya pleonasme yang perlu diberi perhatian oleh tiga orang penyair yang karyanya tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Puisi-puisi yang akan dibincangkan ialah “Andai Ini Ramadhan Terakhirku”karya Ramzi Junai, “Tasbih Pantai” oleh Shamsiah Yaman dan “Hati yang Rapuh”karya Laila Ahniaw.
Puisi pertama berjudul “Andai Ini Ramadhan Terakhirku” karya Ramzi Junai, tersiar tepat pada waktunya, iaitu pada bulan Ramadan. Puisi ini mengisahkan tentang pengharapan seorang hamba yang merindui kedatangan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan. Dari segi bentuk, puisi ini bersifat peribadi, polos, prosaik dan disampaikan dalam gaya pengucapan konvensi. Walhal, hakikat puisi yang baik, tidak memerlukan penceritaan yang rinci sehingga kesemua idea ingin disampaikan secara terus terang dalam ruang puisi yang terbatas. Selain itu, terdapat beberapa baris dalam puisi ini yang tergantung dan perlu disempurnakan oleh penyair. Contohnya bagi frasa “Amalan yang dijanjikan penebusan berlipat ganda”, tampak mengelirukan kerana perkataan “amalan” (sesuatu yang dilakukan) tidak sepadan dengan perkataan “penebusan (perbuatan) berlipat ganda”. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Andai ini Ramadhan terakhirku
Bagaikan kelmarin sibuknya manusia
Siang dan malam mengerah segenap tenaga
Amalan yang dijanjikan penebusan berlipat ganda
Mendambakan redha serta pengampunan dari maha pencipta
Renungan ajal yang tidak mungkir hadirnya
Mengintai di celahan gelak ketawa
Pasti akan berganti tangis hiba
Rentapan yang tidak mengenal usia
Tangan diangkat berdoa
Memohon agardilanjutkan lagi usia
Cuba meraih bergunung pahala
Gerun memikirkan lambakan dosa
Apakah bisa terampunkan
dan menjamin kenikmatan di akhirat sana
moga-moga amalanku diterima
dengan hati yang rendah cuba berbicara
agar menggamit hati manusia lainnya
yang pernah aku sakiti zahir dan batin mereka
dosa yang ku ingat atau mungkin yang sudah ku lupa
agar dimaafkan segalanya
tinggallah segala nikmat dunia
anak, isteri dan ahli keluarga
serta sedikit harta yang tersisa
kenangilah segala budi dan jasa
mendambakan kiriman doa
menjadi bekalan di alam sana
Dari aspek gaya bahasa, didapati puisi ini tebal dengan unsur pleonasme yang menyebabkan puisi ini prosaik dan polos. Misalnya dalam baris ketiga, iaitu bagi frasa “mengerah segenap tenaga”, merupakan salah satu bentuk pleonasme yang nyata. Hal ini dikatakan sedemikian kerana perkataan “mengerah tenaga” sudah cukup untuk menjelaskan maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Begitu juga bagi perkataan-perkataan yang digelapkan dalam puisi di atas, yang merupakan bentuk gaya pleonasme yang perlu disaring sebaik mungkin oleh penyair.
Di sisi yang lain, dalam ruang puisi yang terbatas sifatnya, penggunaan kata sendi nama (dari) dan kata hubung (yang, agar, dan, atau) yang tidak terkawal dalam puisi, akan menjejaskan nilai estetika dan kualiti puisi. Bagi mengatasi masalah tersebut, penyair perlu memperkaya kosa kata serta memperluas pengalaman pembacaan, agar binaan diksi puisi dapat dipadatkan dan dipersingkat.
Puisi seterusnya berjudul “Tasbih Pantai” karya Shamsiah Yaman hadir dalam sebuah rangkap puisi yang panjang. Membaca puisi ini seperti mencari jarum dalam tompokan jerami. Hal ini disebabkan binaan diksi puisi ini tidak diadun sebaik mungkin, sehingga pembaca tercari-cari apakah yang ingin disampaikan oleh penyair. Di samping itu, puisi ini tebal dengan unsur pleonasme serta beberapa pengulangan yang mubazir sifatnya. Antaranya seperti pada frasa “Kalian datang dan pergi, kembali menghilang”, “Pergilah kalian damai di sana”, “Pergilah semua yang tersayang”dan“Titip doa bersama tangisan yang tak lekang”.
Selain itu, pemilihan diksi yang kurang tepat pada baris awal seperti “beburung laut” dan “langit purba”, telah menjejaskan nilai estetika puisi ini. Diksi yang sesuai untuk menggantikan “beburung laut” ialah “camar” serta diksi “purba” yang bermaksud lampau dan lama, tidak sesuai dipadankan dengan “langit”yang bersifat luas, berubah (siang dan malam) dan tinggi. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Terbanglah beburung laut menuju ke langit purba
Kalian datang dan pergi, kembali menghilang
Akhirnya tinggalkan pantai itu,
Bersama bait cinta Laila dan Majnun
Simpanlah rindumu di pantai itu,
Seperti biduan meniup seruling,
Alunannya bergentayangan di langit
Awan gemawan menyaksikan kesudahannya,
Lari pulang kerana kalah pertarungan lalu mati,
Di kesunyian pantai liarnya hentaman ombak,
Menderu bagai hantu barangkali terlampau cahaya,
Di catat sebagai dosa,
Setiap batu bunga karang ikan, melagukan tasbih,
Hilanglah segala duka lara, yang tinggal batu karang,
Berwarna putih suci di kejauhan,
Mutiara berbaring di alis pantai,
Pergilah kalian damai di sana,
Pergilah semua yang tersayang,
Titip doa bersama tangisan yang tak lekang,
Perbaikilah batin kalian,
Nescaya memperbaiki lahiriah kalian,
Perbanyakkan mengingat kematian.
Selain itu, imej atau citra yang dipilih oleh penyair dalam puisi ini bercampur aduk sehingga menjejaskan gambaran dan bayangan khalayak untuk memahami puisi ini. Perhatikan sahaja pada baris “Simpanlah rindumu di pantai itu/Seperti biduan meniup seruling/ Alunannya bergentayangan di langit/ Awan gemawan menyaksikan kesudahannya,/ Lari pulang kerana kalah pertarungan lalu mati”. Sekiranya digambarkan di layar imaginasi, siapakah yang kalah dan mati di pantai? Adakah biduan yang meniup seruling atau burung laut yang datang dan pergi? Selain contoh di atas, baris lain seperti “Menderu bagai hantu barangkali terlampau cahaya”, “Setiap batu bunga karang ikan, melagukan tasbih”, “Hilanglah segala duka lara, yang tinggal batu karang” turut memerlukan pemurnian agar ‘tasbih pantai’ tidak dipanjangkan kepada batu, bunga karang dan ikan yang hidup di dalam lautan.
Dalam hal ini, disarankan agar penyair lebih berhati-hati dalam memilih diksi dan imej yang sesuai dengan tema dan idea yang hendak diungkapkan. Hal ini penting kerana puisi yang elok binaan diksinya serta terhindar daripada unsur kelewahan, dapat memberikan satu kepuasan (katarsis) serta membijaksanakan pembaca.
Puisi terakhir berjudul “Hati yang Rapuh” karya Laila Ahniaw ditulis dalam empat rangkap yang sarat dengan unsur asonansi, iaitu pengulangan bunyi vokal ‘i’ pada baris akhir. Bentuk sebegini lebih menyerlah dalam puisi tradisional seperti syair dan pantun. Pun begitu, dalam penulisan puisi moden, pengulangan rima mampu menghasilkan muzikal bahasa serta kesan bunyi yang indah dalam sesebuah karya. Dari sudut makna, puisi ini berkisar tentang hati yang rapuh atau emosi seseorang yang mudah tersentuh. Dari segi bentuk, puisi ini mudah difahami kerana menggunakan bahasa seharian. Selain itu, perkongsian pengalaman yang diturunkan oleh penyair dalam puisi ini masih berlegar dalam ruangan peribadi. Hal ini menyebabkan puisi ini sarat dengan luapan emosi penyair yang secara jelas dinyatakan pada baris kedua akhir, iaitu “Kecamuk jiwa pilihan sendiri”. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:
Sekeping hati yang rapuh ini,
Terbias bagai cerminan mimpi,
Terkesima tatkala terdengar herdikan pagi,
Ternganga telinga tercari-cari,
Desiran itu, dari mana datangnya tiada pasti.
Sekeping hati yang rapuh ini,
Tertusuk panahan setajam belati
hadir tanpa belokkan sisi
Jelas tiada nurani,
Menghentak emosi tanpa simpati.
Sekeping hati yang rapuh ini
Berpaut longlai di ranting diksi
Terpana tatkala terdengar jeritan mentari
Dari bukit yang simpati
Terpinga minda tak ingin dinodai ilusi.
Sekeping hati yang rapuh ini
Ingin bangkit menawan emosi
Akhirnya sedar diri,
Kecamuk jiwa pilihan sendiri
Berdikarilah rawat luka sendiri
Sama seperti dua buah puisi awal di atas tadi, puisi ini turut mengandungi unsur pleonasme yang berupaya melonggarkan binaan puisi yang kejap dan padat. Bentuk pleonasme dalam puisi ini seperti “Terkesima tatkala terdengar herdikan pagi” (gugurkan perkataan “tatkala”), “Tertusuk panahan setajam belati” (gugurkan perkataan “setajam”), “Terpana tatkala terdengar jeritan mentari” (gugurkan perkataan “tatkala”), dan “Terpinga minda tak ingin dinodai ilusi” (gugurkan frasa “tak ingin” yang bersifat bahasa kolokial). Pengguguran perkataan dan frasa seperti yang dicadangkan di atas tadi, merupakan satu proses penting dalam penghasilan puisi yang ditafsirkan sebagai jambangan kata-kata indah. Hal ini bertepatan dengan konsep keindahan yang memerlukan pemangkasan, perapian dan pemurnian berulang kali sebelum dipersembahkan kepada khalayak pembaca.
Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas sarat dengan unsur pleonasme atau pembaziran diksi yang tidak diperlukan. Pemasukan unsur ini dalam susunan diksi puisi, pada hakikatnya tidak disedari oleh penyair, khususnya penyair muda yang berkobar-kobar jiwanya untuk menatap karya mereka tersiar dalam wadah penerbitan. Justeru, diharapkan ulasan ini dapat membantu para penyair muda mempertingkatkan mutu penghasilan puisi dengan melakukan penyaringan diksi terlebih dahulu, agar puisi yang terbit dapat memberi kesan estetika dan intelektual kepada pembaca. Teruskan berkarya!