
LAWAS: Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) perlu memainkan peranan dalam menyatupadukan masyarakat Lun Bawang untuk terus maju bersama kerajaan yang ada pada hari ini.
Malahan melalui PLBS, masyarakat Lun Bawang juga perlu mewujudkan jaringan perpaduan antara kaum lain yang ada di kawasan mereka khususnya di Daerah Lawas ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong menegaskan pelbagai usaha giat dilakukan untuk memajukan pembangunan kawasan luar bandar khususnya di Lawas.
Oleh itu, masyarakat Lun Bawang tidak harus mengasingkan diri daripada kerajaan yang memerintah agar mereka dapat bergerak maju seiring dengan masyarakat lain.
“Kita di Sarawak hidup bersama-sama dengan masyarakat lain, jadi kita harus ada kesatuan dan hubungan baik khususnya dengan kerajaan memerintah negeri dan negara. Ini penting kerana masyarakat Lun Bawang hidup berniaga dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.
“Jadi masyarakat Lun Bawang hidup bersama-sama dalam dunia moden bersama dengan masyarakat lain,” katanya sewaktu mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Pembukaan Pesta Lun Bawang atau Irau Aco Lun Bawang di Stadium Tertutup Lawas hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berharap perpaduan masyarakat Lun Bawang akan dapat menyumbang kepada kekuatan Sarawak sepanjang masa.
Pesta Lun Bawang kali ke-38 ini menyajikan berbagai acara sukan seperti bola sepak, bola tampar, tarik tali terbuka, jualan makanan dan kraf tangan, menyumpit, permainan tradisi serta persembahan kebudayaan.
Pesta ini bermula 28 Mei lalu akan berakhir pada malam 3 Jun 2025.
Oleh Adeng Edrus