
SELANGAU: Program Pemantapan Perkhidmatan dan Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disifatkan sebagai platform terbaik dalam memperkukuh kefahaman pemimpin akar umbi terhadap peranan serta tanggungjawab mereka dalam menyokong dasar kerajaan dan memperkasa komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, dalam era moden yang sentiasa berubah, pemimpin masyarakat perlu dilengkapi dengan maklumat yang tepat serta kemahiran relevan bagi menangani pelbagai isu kemasyarakatan.
“Untuk membentuk seorang pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah. KMKK harus bersiap siaga dengan maklumat yang tepat dan kemahiran yang relevan untuk menangani pelbagai isu kemasyarakatan,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Program Pemantapan KMKK Daerah Selangau Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Selangau, baru-baru ini.
Menurut Gira, penganjuran program itu mencerminkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, jabatan, pemimpin masyarakat serta wakil rakyat dalam memastikan objektif program dapat direalisasikan.
“Saya amat berbesar hati kerana penganjuran program ini berjaya direalisasikan hasil komitmen padu pelbagai pihak. Tanpa kerjasama erat seperti ini, sesuatu acara tidak akan mencapai matlamatnya,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting KMKK sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat, selain menyifatkan kerjasama erat dengan wakil rakyat serta agensi berkaitan sebagai kunci kepada pembangunan holistik dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
Katanya, kerajaan juga menyedari beban tugas yang dipikul KMKK dan telah bersetuju memasukkan peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam senarai rasmi tanggungjawab Ketua Kaum yang dilantik.
“Ketua Kaum yang juga bertindak sebagai Pengerusi JKKK perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, di samping mampu mengenal pasti individu berpotensi untuk melaksanakan pelan tindakan yang menyeluruh bagi pembangunan komuniti,” jelasnya.
Antara lapan kriteria utama JKKK cemerlang yang digariskan beliau termasuk memiliki pelan tindakan jangka pendek dan panjang, memupuk perpaduan, menjadi penghubung masyarakat dan kerajaan serta menyampaikan dasar kerajaan secara efektif.
Selain itu, JKKK juga digalakkan mempromosi gaya hidup sihat, menjaga kebersihan, menguatkuasakan undang-undang, mengemaskini rekod kampung dan menjalin hubungan erat dengan agensi kerajaan serta mengamalkan nilai seperti amanah dan bertanggungjawab.
“Seorang Pengerusi JKKK ibarat kapten kapal yang perlu membawa masyarakat menuju pembangunan walau berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Program tersebut turut menyaksikan penganjuran sesi randau bersama panel dari Pejabat Residen dan Pejabat Daerah sebagai pendekatan dua hala yang efektif, sekali gus menghidupkan kembali semangat program Civic Assembly bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
Gira turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut termasuk Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta; Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan serta semua rakan strategik.
Turut hadir Temenggong Masyarakat Iban, Temenggong Stanley Geramong Bandar dan Pemanca Daerah Selangau, Pemanca Mathew Belawan Daut.
Oleh Tarani Lanting