KENANGAN… Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sri Minyak Dato William Tiu Sii Chuon dan Pengurus Besar Kumpulan
Sri Minyak Berhad, Amelia Tiu bergambar bersama Bujang Zainuddin (tengah), Kaunselor Ling Hua Wee dan Sean Hii semasa lawatan ke gerai Kumpulan Sri Minyak semalam.
SIBU: Pameran Perdagangan (TRADEX) 2022 dan Pesta Makanan Jalanan adalah platform yang sangat ideal untuk golongan muda yang minat menceburi aktiviti perniagaan.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Bujang Zainuddin berkata, golongan ini harus merebut peluang di TRADEX dan Pesta Makanan Jalanan, di samping menimba pengalaman yang begitu bermanfaat.
“Di samping itu juga golongan muda akan dapat mengalami sendiri pelbagai bentuk cabaran jika mereka melibatkan diri dalam perniagaan di TRADEX dan Pesta Makanan Jalanan.
“Pada masa yang sama, mereka akan menjadi lebih matang daripada aspek pemikiran serta sikap dalam menjalani urusan perniagaan pada masa akan datang,” tegasnya.
Bujang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Pameran Perdagangan (TRADEX) 2022 dan Pesta Makanan Jalanan di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini semalam.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) golongan muda yang begitu menggemari perniagaan menggunakan sepenuhnya peluang perniagaan dalam talian (online). Golongan inilah yang turut merebut peluang perniagaan yang terdapat di pameran ini
“TRADEX juga pada masa yang sama memainkan peranan penting dalam menggalak dan melahirkan golongan usahawan muda di Sibu dengan menyediakan peluang serta ruang untuk mereka berniaga serta mempamerkan produk mereka kepada pengunjung,” tambahnya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Usahawan StartUp Sarawak Sean Hii, sebanyak 232 gerai yang terdapat di TRADEX 2022 dengan menawarkan pelbagai aneka jenis produk, manakala 60 gerai di Pesta Makanan Jalanan (street foods).
Penyelaras untuk TRADEX 2022 dan Makanan Jalanan, Kaunselor Ling Hua Wee menyaran kepada semua peniaga serta para pengunjung untuk sama-sama menjaga kebersihan di sepanjang TRADEX 2022 dan Pesta Makanan Jalanan.
Pameran tersebut adalah anjuran bersama Majlis Perbandaran Sibu dan Persatuan Usahawan StartUp Sarawak diadakan bermula 8 hingga 23 Julai.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR