
PETRA JAYA: Program Pertandingan Idea Perniagaan Belia Sarawak (saYBIC) 2025/2026 terus memainkan peranan penting sebagai platform utama dalam pembangunan bakat keusahawanan, inovasi, dan kepimpinan dalam kalangan belia di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada dunia perniagaan, malah membantu peserta mengasah kemahiran menyelesaikan masalah serta meneroka peluang perniagaan yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Menurut beliau, edisi kali ini berjaya menarik penyertaan daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) utama di Sarawak iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Politeknik Metro Betong, dan Kolej Vokasional Matang.
“Daripada keseluruhan penyertaan yang diterima, seramai 12 peserta terbaik berjaya dipilih ke peringkat akhir untuk membentangkan idea serta model perniagaan masing-masing. Pemilihan ini memperlihatkan tahap daya saing yang tinggi serta kualiti projek yang diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah saYBIC 2025/2026 di Kampung Sukan Sarawak, hari ini.
Tambah Abdul Karim, kejayaan saYBIC kali ini turut didorong oleh kerjasama strategik antara pihak kementerian dan UiTM, yang disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menggabungkan kekuatan akademik, penyelidikan, dan pembangunan modal insan dengan keperluan industri semasa.
Bagi menyokong kelangsungan idea-idea kreatif yang lahir daripada saYBIC, beliau menegaskan bahawa Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) akan terus menyediakan sokongan pasca-pertandingan melalui pelbagai kursus lanjutan, skim bantuan, dan geran permulaan seperti Program Kursus SYStartUp.
Pada majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan saYBIC 2025/2026 serta mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang menunjukkan komitmen dan kreativiti luar biasa sepanjang program berlangsung.
Oleh Shikin Mahmud