
PUTRAJAYA: Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan MCMC hari ini.
Menurut MCMC, Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.
“Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan itu hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Suruhanjaya turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global masing-masing seperti biasa, dan pendekatan itu sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
-BERNAMA