
BINTULU: Kejohanan Bintulu Muaythai Amateur Challenge Volume 3 (BMAC3) bakal berlangsung hujung Jun ini di Paragon Bintulu, sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam sukan tempur itu menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata, kejohanan tersebut penting bagi memberi pendedahan awal kepada atlet muda serta membina pelapis yang berpotensi mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan.
“Kita anjurkan program ini kerana kita perlu mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baharu, serta mempersiapkan mereka dari sekarang untuk SUKMA 2026.
“Dengan kerjasama Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu, kita berusaha membentuk pelapis yang mampu membawa nama Sarawak,” katanya pada majlis pelancaran poster BMAC3 di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, pembangunan bakat tidak hanya tertumpu di Bintulu, malah diperluas ke seluruh negeri termasuk melalui penganjuran Piala TYT Sarawak yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 4 Mei ini di Waterfront Kuching.
“Kita menjemput semua anak muda Sarawak yang berminat untuk menyertai sukan ini.
“Terdapat banyak kelab Muaythai di Kuching dan seluruh negeri yang boleh mereka sertai.
“Siapa tahu, mereka mungkin berpeluang mewakili Sarawak suatu hari nanti,” tambahnya.
Jumaat turut menegaskan bahawa penganjuran kejohanan seperti BMAC3 adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar (powerhouse) sukan tempur di Malaysia.
“Kita telah membuktikannya pada SUKMA lepas apabila Sarawak muncul juara keseluruhan.
“Sekarang kita mahu mengekalkan momentum itu dan terus meningkatkan pencapaian agar Sarawak kekal di hadapan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih