

MEMANG benar, makhluk manusialah yang terhebat di muka bumi, mencipta ketamadunan dan peradaban. Hasil kepintaran spesies manusia, menara dinaikkan mencecah awan, roket dicipta untuk menjejaki permukaan bulan dan negara yang dahulunya mundur kini menjadi adikuasa mentadbir dunia. Jalan yang becak, diturap dengan tar, rumah gelap gelita, diciptakan elektrik untuk menerangkan sekeliling dan hubungan jauh tanpa diduga boleh didekatkan hanya melalui telefon pintar sebesar telapak tangan. Lalu berlakulah kolonisasi, imperialisme dan seterusnya menceroboh alam sekitar demi mengaut segala intan permata.
Richard Attenborough yang menjadi narator dalam sebuah dokumentari bertajuk A Life On Our Planet, meninggalkan sebuah pesan sejagat kepada audien (yakni – kita semua), agar bekerjasama dengan alam sekitar dan bukan menentangnya. Manusia tidak akan menang. Sungguh dahsyat impak yang bakal menimpa alam sekitar sekiranya berterusan mencabar dan mengganggu-gugat habitat ekosistem bumi secara semberono. Fenomena yang berlaku misalnya banjir, tanah runtuh, perubahan cuaca, hujan, kemarau dan wabak penyakit berpunca daripada sikap melampaui batas manusia. Sungguh sukar menjinakkan spesies itu.
Tetapi, peringatan sedemikian, sudah pun lebih awal terakam dalam al-Quran melalui firman Tuhan dalam surah al-Qasas (77), ‘‘Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.’’ Apa sahaja bentuk kerosakan di atas muka bumi, ia termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan dibenci oleh-Nya. Bahkan manusia juga ditegah untuk melakukan penganiayaan ke atas setiap makhluk, misalnya binatang. Malangnya, mata dan nafsu manusia sesak oleh ketamakan duniawi, sebagaimana ruang udara semakin pekat dengan perlepasan karbon. Masihkah kita ingat insiden di Chernobyl yang melepaskan bahan pencemar radioaktif pada 26 April 1986?
Apa yang hendak dikiaskan oleh pengarang, Mohd Fadzly Haji Miswan, melalui naskhah bertajuk “Tesmak Alam”, menjurus tentang situasi bumi pada masa kini yang kian tenat dan menakutkan. Ia isu di seluruh dunia. Serius, rumit dan tanpa kesudahan. Hutan Santubong hanya pelantar kecil yang menjadi wadah perbincangan. Bukan sahaja cuaca mengalami perubahan secara drastik, kehidupan binatang turut terjejas dan menunggu masa pupus dan tinggal fosil membatu. Apa yang didebatkan oleh Awan dan Suria serta Bayu dalam naskhah itu adalah mencari siapakah dalang yang menyebabkan kejadian ekstrem di planet bernama Bumi. Ketiga-tiganya maklum, bahawa manusialah pembawa angkara. Tidak lain.
Dalam buku Dahsyatnya Kesusasteraan Memerihalkan Kehidupan, Sohaimi Abdul Aziz, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2014, terselit sebuah makalah bertajuk “Sastera, Sains dan Teknologi dalam Cereka Sains dan Sastera Elektronik” yang bersesuaian dengan pertempuran sains dan teknologi dalam naskhah itu. Kemajuan insfrastruktur yang tidak ditangani dengan berhemah dan berperikemanusiaan, mengancam balik dengan musibah. Sohaimi Abdul Aziz menegaskankan amanatnya: ‘‘Sains dan teknologi yang mengambil kira aspek kemanusiaan akan memberi perhatian kepada kesejahteraan manusia berbanding sains dan teknologi yang kering dengan hal ini. Tanpa kemanusiaan, sains dan teknologi terus membangunkan tamadun manusia dan pembangunan ini telah memberi kesan kepada manusia. Justeru, manusia pada hari ini menghadapi pelbagai krisis yang berpunca daripada pengabaian terhadap pembangunan yang hanya berteraskan sains dan teknologi yang hilang unsur kemanusiaannya. Pelbagai kerosakan telah dilakukan oleh sains dan teknologi yang kering dengan kemanusiaan itu seperti pencemaran alam sekitar yang parah.’’ (hlmn.147).
Titik mula idea naskhah itu sudah tentu muncul daripada renungan pengarang tentang situasi menakutkan yang menimpa ke atas bumi. Sebagai pengarang yang halus pemerhatiannya, isi dan motif naskhah memberikan teguran berkaitan dengan situasi persekitaran. Ada beberapa tema yang bersangkut-paut dengan kerenah kehidupan di dunia, seperti manusia dengan permasalahannya, terungkap dalam naskhah-naskhah sastera. Namun pengarang naskhah memilih sebuah tema yang mengkhusus tentang keadaan alam sekitar dan perubahan iklim. Impaknya terlihat setiap hari. Walaupun ringkas, sekurang-kurangnya mesej utama telah disampaikan. Jelas di sebalik alegori. Itu lebih utama dalam sesebuah naskhah.
Tema sebegitu begitu mustahak dan wajar ditulis untuk menyedarkan kelalaian dan kejahilan manusia. Bayangkan, apa akan terjadi kepada manusia jika ruang dipenuhi udara beracun yang mendatangkan maut? Langit hitam, sungai mengering dan bau gas bertebaran menyelinap dibawa angin. Kebebasan untuk bergerak ke mana-mana tersekat dan ia tentu memudaratkan jiwa manusia. Selama ini manusia tidak pernah berfikir tentang alam sekitar, membuang sampah di mana-mana, membakar hutan seenak-enaknya sahaja dan melepaskan toksik di sungai tanpa rasa berdosa. Kekayaan dan kesenangan sebelum ini, terhenti, akibat dunia sudah tidak lagi semurni dahulu kala. Alam kini menekan manusia.
Menyedari motivasi naskhah itu terhasil, elemen parodi digunakan dengan memilih watak-watak bukan manusia, secara tersirat mempertajamkan lagi darjah kritikannya. Alam dicipta sejajar dengan ukuran dan aturan, tetapi manusialah yang gelojoh mengucar-ngacirkan susunan yang sudah pun ditetapkan buat penghuni planet bumi. Binatang tidak diberikan kelebihan untuk berfikir, malangnya manusia yang dianggap lebih bijak dan kreatif, memanipulasi aset yang ada pada mereka, menjahanamkan alam sekitar. Nasib malang merenggut nyawa binatang pelbagai spesies di dalam hutan menunjukkan indikator demografi bahawa alam sekitar tidak lagi menjadi kawasan hijau yang subur dan terlindung.
Dalam laporan di Harian Metro, bertarikh 27 Januari 2024, hutan di Amazon yang dianggap paru-paru bumi, sedang dimusnahkan oleh perubahan iklim. Kemarau melampau berlaku akibat aktiviti penebangan pokok, sungai menjadi cetek dan hujan sudah mulai jarang turun. Senario mengejutkan itu memberi kesan secara langsung kepada berjuta-juta orang yang bergantung kepada sungai sebagai medium pengangkutan, makanan dan sumber pendapatan. Hasil kajian, tangan manusialah (selain fenomena El Nino) yang menjerumuskan kawasan yang kaya dengan sumber biodiversiti itu rontok dan kekeringan. Itu bukti yang menggambarkan betapa setiap inci kerosakan di muka bumi, selalunya datang daripada manusia.
Sementara para penghuni di dalam hutan – monyet, kancil dan kura-kura juga sedang meratapi senario alam sekitar yang menyukarkan usaha kelangsungan hayat masing-masing. Keluhan tentang keadaan yang mendedahkan mereka kepada kematian. Cuaca membahang, sungai telah tercemar, buah-buahan sudah sukar diperolehi dan lambat-laun kediaman yang serba hijau menaungi penghuni rimba bakal diterokai manusia. Hal yang dikhuatirkan mereka benar-benar menjelma. Akibat hujan turun tanpa henti, kestabilan tanah terhakis, sungai kecil meningkat paras airnya dengan lambakan kayu hanyut dan sampah sarap mengalir deras ke muara. Dan alam pun menunjukkan kemarahan tanpa mampu dibendung oleh kepintaran manusia. Siapakah yang datang menyelamat? Manusia?
Kepala air pun meledak dan menghancurkan empangan. Hujan turun lebat, angin bertiup kencang, lalu paras air tiba-tiba meluap naik dan mengorbankan para penghuni di hutan. Sudah terlalu kerap kes kepala air berlaku. Juga sudah semakin berleluasa kerja pembalakan beroperasi demi tuntutan keuntungan dan pembangunan. Selagi ada permintaan, maka selagi itulah pokok-pokok ditebang sehingga ke puncak gunung. Sama ada dijadikan lokasi laluan jalan raya atau dihantar ke kilang untuk pemprosesan industri papan. Perasaan sentimental tidak mendatangkan ganjaran laba di dunia yang serba keras ini. Siapa yang peduli tentang seekor kura-kura mati kelemasan diheret arus deras kepala air di balik hutan sana?
Suria, Awan dan Bayu sekadar memerhati daripada kejauhan. Tidak mampu melakukan apa-apa kerana berbeza kejadian. Suria memanaskan cuaca, Awan menumpahkan air ke merata bumi dan Bayu kadang-kadang berhembus teramat kuat hingga menerbangkan bumbung rumah. Maka demikianlah alam mempamerkan tenaganya setelah didesak oleh manusia. Selepas satu kehancuran, diteruskan lagi beberapa siri kemusnahan di bumi oleh tangan manusia. Kura-kura, teman baik Kancil menjadi mangsa empangan pecah. Demikian pula Kancil yang menyusul terkorban. Tiada jaminan bahawa Monyet akan terlepas daripada sasaran peluru pemburu. Sama ada di hutan atau tengah bandar raya, siapa yang kuat dan berkuasa, maka, dialah yang menggenggam dunia. Manakala yang kecil dan lemah, mengangguk kepala. Itulah hukum kehidupan yang masih diamalkan.
Naskhah yang menyayat hati ini ialah gambaran mikro tentang kedahsyatan yang berlaku hasil daripada perbuatan manusia pada alam sekitar. Bahasa yang digunakan untuk bercerita (menyindir), jelas. Biarpun manusia tentu tidak mahu dilibatkan dengan insiden itu. Dengan alasan melangsungkan kehidupan (mata pencarian), urusan nyawa binatang dan kelestarian alam sekitar bukan masalah mereka. Alam sekitar ialah alam sekitar. Pokok ditebang dan nantinya tumbuh lagi. Manakala manusia hidup sesuai dengan keperluan mereka. Memang, tanpa berlapik, pengarang secara lantang menyalahkan sikap manusia. Ia terungkap pada bahagian pembukaan naskhah. Bahana tangan kotor. Tangan yang mengangkut senjata dan perlatan untuk memudarkan keharmonian sebelum ini di hutan Santubong.
Naskhah “Tesmak Alam” dihadirkan sesuai pada waktu dan keadaannya. Malahan jika ditulis dengan lebih rinci dan mendalam, sudah tentu kesan kritikannya lebih menyengat. Pengarang naskhah memilih watak-watak terdiri daripada matahari, awan dan bayu serta pelbagai spesies binatang untuk memikul beban permasalahan di dunia. Daya dan usaha segelintir manusia untuk memperjuangkan kelestarian alam sekitar, seakan-akan menuju ke garis terakhir. Mereka akan ditewaskan oleh ugutan, wang suapan dan didiamkan dengan halus atau kasar. Hanya melalui imaginasi, pengarang menghidupkan, (memberi nyawa) kepada watak-wataknya untuk menyuarakan keadaan alam sekitar yang terancam. Jika alam tercemar, cuaca tidak menentu dan sikap manusia yang tidak terkawal, apa-apa sahaja yang berada di sekeliling turut terkena tempias. Segala-galanya berkaitan antara satu sama lain.
Tetapi apa yang tertulis, memadailah. Yang mustahak, fenomena perubahan iklim bukan hal main-main. Bukan semata-mata saluran nafas terseksa, tetapi ia melibatkan kompas moral spesies manusia. Jangan sampai malapetaka Chernobyl berulang akibat kecuaian manusia. Kos untuk pemulihan sangatlah besar. Kepekaan pengarang berhubung isu serius itu, sewajarnya memberi dorongan kepada pengarang untuk terus menggali tema-tema yang berkaitan tentang ekosistem. Di atas muka bumi ini, bukan manusia sahaja yang berhak. Akibat air sungai yang keruh dan bertoksik, kehidupan maritim bakal menanggung sengsara. Nelayan yang turun menangkap ikan dan udang, balik dengan tangan kosong.
Hal ini demikian kerana, impak perubahan iklim telah merangsang beberapa bentuk keadaan ekstrem, misalnya kenaikan suhu global, pencairan ais yang berhubungan dengan kenaikan paras laut, banjir, kehilangan habitat (kemusnahan biodiversiti), menjejas sumber makanan, kerugian ekonomi dan pengakhiran daripada itu mengancam kesihatan manusia – sumber Laman Web Rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia. Tatkala sampai ke tahap yang sudah parah, duit menimbun dan pangkat kebesaran, sudah tiada nilainya. Manusia bukan sahaja kekurangan makanan, malah pembunuhan berlaku setiap masa demi mencari sebutir nasi.
Konflik yang tercetus dalam naskhah bertema alam sekitar itu, sudah lama bermula. Sebaik sahaja Revolusi Industri merebak pada sekitar tahun 1840 di Eropah dan Amerika Syarikat, (Isambard Kingdom Brunel menjadi figura penting) kaedah bekerja tidak lagi bergantung sepenuhnya secara manual. Pemikiran tradisi tertolak oleh rempuhan idea-idea pemodenan. Mesin telah mengambil alih dalam mempercepatkan proses penyiapan yang meluas dan pantas. Maka, kecekapan tangan dan tenaga kerja manusia, semakin diminimumkan penggunaannya. Dari situ, bermulalah gerak usaha mencari bahan galian, seperti besi, minyak, arang batu, tembaga, akan didapatkan di mana-mana sahaja lokasi. Terciptalah kapal wap dan kemudiannya keretapi untuk tujuan ekspedisi. Dan alam sekitar sedikit demi sedikit diceroboh buat menyalakan jentera dan bekalan elektrik di kilang.
Permasalahan alam sekitar menjadi bahan renungan pengarang untuk berkarya sehingga sastera mampu menjadi wadah untuk membincangkan permasalahan alam sekitar yang dihadapi oleh manusia, demikian tulis Sohaimi Abdul Aziz dalam buku yang disebut di atas. Hubungan manusia dengan alam sekitar memang sungguh istimewa. Ada manusia beranggapan alam sebagai pelindung dan temannya, maka alam dipelihara. Ada juga yang beranggapan alam sebagai sumber kekayaan dan musuh atau penghalang, maka alam diterokai dan dimusnahkan. Pro dan kontra sebegitu terungkap secara berkias dalam naskhah yang diulas. Atas matlamat mencapai kemodenan, alam sekitar perlu dikorbankan, tanpa peduli sama ada para penghuni di dalamnya bersetuju atau membantah. Itulah hakikat kehidupan yang dilalui, ia tidak semanis impian dalam alam utopia.
Roslan Jomel