
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menggesa Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) agar mencontohi langkah proaktif Persatuan Melanau dalam membantu golongan belia menembusi sektor minyak dan gas.
Menurut beliau, pendekatan proaktif seperti itu telah terbukti mampu mengangkat ekonomi komuniti Melanau dan wajar dijadikan inspirasi oleh pertubuhan lain.
“PKWPS juga digalakkan membina kerjasama erat dan jaringan strategik bersama agensi kerajaan, swasta dan badan berkaitan. Jaringan kukuh ini penting bagi membuka lebih banyak ruang kepada penyaluran bantuan, perkongsian ilmu serta pembangunan kerjaya, khususnya dalam kalangan belia dan golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada majlis Makan Malam Silaturahim 2025 anjuran PKWPS di Dewan Bankuet Balairong Seri, Kubah Ria, malam tadi.
Dayang Noorazah turut menekankan bahawa persatuan seperti Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) perlu berperanan sebagai rakan pelaksana dasar kerajaan serta menjadi pemangkin kepada perubahan di peringkat akar umbi.
“Amalan tadbir urus yang baik dan kepimpinan berintegriti adalah asas penting kelestarian sesebuah pertubuhan. PKWPS boleh melaksanakan program berfokus seperti pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan dan literasi digital untuk memperkasakan belia, wanita, warga emas dan golongan B40,” tambah beliau.
Katanya lagi, segala inisiatif ini harus diselaraskan dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kemajuan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyarankan agar PKWPS memperkukuh kolaborasi bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan agar pelaksanaan program berkaitan warisan dan khidmat sosial dapat digembleng dengan lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Saya yakin wakil-wakil agensi yang hadir malam ini mampu melihat potensi PKWPS dan menyelaraskannya dengan dasar masing-masing dalam usaha memperkasakan masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir Toh Puan Hayati Ahmad, Pengerusi PKWPS, Awang Maghrib Awang Anie, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam, Shiekh Abdul Mahdani Dato Paduka Shiekh Abdul Gani Rithaudden, Pengerusi Jawatankuasa Adat Istiadat dan Tarsilah Pengiran Sarawak yang juga Penasihat PKWPS, Dr Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad dan Penasihat 2 PKWPS, Awang Indra Awang Moustapha.
Oleh Adi Safarman