PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menyasarkan akan mengendalikan 400,000 calon untuk menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan murid ke tingkatan satu dan empat di sekolah khusus untuk tahun 2021.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, dianggarkan 200,000 pelajar akan memohon untuk menduduki kaedah pentaksiran baharu ke sekolah khusus itu bagi mendapatkan tempat ke tingkatan satu dan 200,000 lagi ke tingkatan empat.
Permohonan bagi menduduki PKSK dibuka dalam talian pada 7 September hingga 2 Oktober ini, katanya.
“Kita sedia maklum mungkin ada kawasan-kawasan yang sukar (mendapatkan) capaian Internet maka sekolah boleh bantu murid tersebut untuk isi permohonan. Semua murid layak memohon,” katanya pada taklimat media mengenai PKSP di sini.
Habibah berkata, pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara, dan pusat pentaksiran akan ditambah sekiranya jumlah permohonan yang diterima melebihi 200,000 bagi kemasukan ke tingkatan satu atau tingkatan empat.
Pelaksanaan pentaksiran untuk tingkatan satu akan diadakan pada 12 hingga 23 Oktober, manakala bagi tingkatan empat pula pada 26 Oktober hingga 6 November, katanya.
“Ujian ini hanya untuk yang berminat nak masuk ke sekolah khusus, sebab ia bukan macam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). (Kemasukan ke sekolah khusus) perlu melalui saringan dan dipilih melalui ujian pentaksiran,” kata Habibah.
Pentaksiran kemasukan sekolah khusus itu akan dilaksanakan merangkumi tiga komponen iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).
Sebanyak 18,364 tempat ditawarkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi tingkatan satu, manakala bagi tingkatan empat pula, 26,289 tempat ditawarkan di SBP, SMKA, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), katanya.
Menurut Habibah, kaedah pentaksiran itu tidak akan membabitkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana institusi tersebut menguna pakai instrumen sendiri bagi pemilihan murid ke institusi berkenaan iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).
Mengenai format pentaksiran PKSK, Habibah berkata komponen Artikulasi Penulisan digunakan untuk mengenal pasti kebolehan percambahan idea dan tahap kreativiti serta kecenderungan dalam sesuatu bidang.
“Murid dikehendaki menulis karangan dalam bahasa Melayu berdasarkan tajuk yang diberi. Panjang karangan ialah sekurang-kurangnya 100 patah perkataan bagi kemasukan ke tingkatan satu, dan sekurang-kurangnya 250 patah perkataan bagi tingkatan empat dan mereka diberi tempoh masa 45 minit dengan wajaran skor 10 peratus,” katanya.
Di bawah komponen Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual pula, murid dikehendaki menjawab ujian objektif secara dalam talian dengan tempoh masa selama 90 minit.
Komponen Kecerdasan Insaniah mencakupi elemen Kecerdasan Emosi (EQ), Kecerdasan Rohani (SQ) dan Kecerdasan Kemahiran Insaniah digunakan untuk mengenal pasti karakter murid dan mereka perlu menjawab 30 item objektif bergred dengan wajaran skor 20 peratus.
Komponen Kecerdasan Intelek pula mencakupi elemen Kecerdasan Intelektual (IQ), Pengetahuan Am dan Penyelesaian Masalah yang digunakan untuk mengukur tahap kognitif murid dan mereka perlu menjawab sebanyak 70 item objektif aneka pilihan dengan wajaran skor 70 peratus.
“PKSK merupakan satu mekanisme saringan pemilihan murid bagi memastikan mereka mempunyai ciri-ciri selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu mengenal pasti potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi kecerdasan intelek, emosi dan rohani,” katanya.
Ditanya bagaimana murid dipilih untuk masuk ke sekolah aliran tertentu, Habibah berkata pemilihan dilakukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh murid selepas menduduki PKSK.
“Kalau dulu dia memohon secara berasingan tetapi kali ini secara ‘single entry point’. Mereka akan ambil pentaksiran dan selepas itu sama ada SBP, SMKA, KV dan sebagainya akan memilih murid berdasarkan pilihan yang telah dibuat,” katanya, sambil menambah hanya satu tempat akan ditawarkan bagi setiap calon.
Berkenaan calon PKSK yang didapati positif Covid-19 atau bergejala semasa pelaksanaan PKSK, Habibah berkata PKSK khas akan dijalankan selepas calon disahkan sembuh oleh pengamal perubatan bertauliah. – Bernama