TANJUNG MANIS: Golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk perusahaan mikro, penjaja serta peniaga kecil dan kumpulan B40 merupakan tulang belakang kepada ekonomi yang mewakili 98.5 peratus.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, golongan PKS memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuklah negeri Sarawak.
Katanya, ramai PKS yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corp. Malaysia, kira-kira 73 peratus PKS dijangka mengalami kerugian pada tahun ini.
“Justeru itu, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai bantuan bernilai RM1.741 juta di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), tambahan kepada bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PRIHATIN dan PENJANA untuk menyokong rakyat termasuk PKS untuk memulakan semula perniagaan dan menuju ke arah pemulihan.
“Kerajaan Sarawak dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkepentingan akan terus aktif membantu para usahawan dan bakal usahawan untuk terus meneruskan perniagaan mereka dalam keadaan situasi pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kursus Pensijilan Pengendalian Makanan di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, tengah hari kelmarin.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) telah melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti termasuk e-dagang di seluruh Sarawak melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan persatuan.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan termasuk peniaga kecil atau penjaja untuk menggunakan dan mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan secara ‘online’.
“Selain itu, MINTRED juga menawarkan geran melalui program e-Commerce Grant yang bernilai sehingga RM5,000 untuk usahawan mempromosi dan menjual produk mereka melalui platform e-dagang seperti Shopee, LAZADA, ALIBABA, Helpy dan e-payment seperti SarawakPay, Boost, Grab Pay, Touch’n’go dan sebagainya.
“MINTRED sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti penyediaan makanan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengusaha dan pengendali makanan,” ujarnya.
Tambahnya, MINTRED mengadakan Kursus Pensijilan Pengendali Makanan dengan objektif utama untuk memberi peluang kepada pengusaha makanan kecil-kecilan di seluruh Sarawak termasuk daerah Tanjung Manis mendapatkan Sijil Pengendali Makanan yang diwajibkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan & Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Disamping itu, program ini bukan sahaja memberi ilmu pengetahuan asas pengendalian makanan tetapi juga meningkatkan kemahiran pengusaha dan pengendali makanan dalam perkara-perkara penting seperti kualiti dan keselamatan makanan, amalan baik dan faktor kritikal keracunan makanan,” katanya lagi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang dan Awang Putrayusrie Awang Redzuan mewakili Setiausaha Tetap MINTRED.
Oleh EARL ANEK