Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • PKR pasca pemilihan: Di persimpangan reformasi dan realiti
  • KOLUM

PKR pasca pemilihan: Di persimpangan reformasi dan realiti

Utusan Sarawak 1 day ago
NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar (tengah) bergambar bersama para perwakilan dari Negeri Sembilan pada majlis Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di sebuah hotel, 19 Mei lalu. FotoBERNAMA

KEPUTUSAN pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menyaksikan kemenangan Nurul Izzah Anwar dan kekalahan Rafizi Ramli.

Ia umpama sebuah keputusan, seribu tafsiran.

Pada pandangan pertama, ini mungkin kelihatan sebagai putaran biasa dalam dunia politik.

Namun, jika diselami lebih mendalam, keputusan ini merupakan refleksi landskap politik dalaman PKR yang sedang berubah daripada politik konfrontasi kepada politik damai, daripada teknokrasi kepada sentimen akar umbi.

Ia juga membayangkan perebutan antara dua naratif iaitu, kesinambungan reformasi bertembung pembaharuan strategik.

Namun sejauh manakah ia bakal memanfaatkan parti yang merupakan teras kepada Kerajaan Perpaduan.

Sudah pasti terdapat dua golongan yang berkepentingan.

Yang pertama di pihak ahli akar umbi PKR sendiri.

Dikatakan 60 peratus tidak turun mengundi.

Adakah ini suatu bentuk protes atau merupakan propaganda pihak yang memusuhi PKR itu sendiri.

Jika ini, benar maka sudah tentu pasca pemilihan ini memerlukan  suatu konsolidasi mega untuk PKR mengembalikan dan melakukan penyatuan secara holistik.

Yang kedua ialah di pihak pengundi di luar PKR.

Memang urusan pemilihan PKR tidak ada kena mengena dengan pihak di luar parti.

Namun pihak di luar parti ialah pengundi terbesar bagi pilihan raya umum dan negeri. 

Setiap detik dan perubahan mempengaruhi pengundi untuk membuat keputusan untuk menyokong atau sebaliknya pada PRU akan datang.

Masing-masing mempunyai perspektif mereka sendiri.

Kemenangan simbolik

Kemenangan Nurul Izzah bukan semata-mata soal individu, tetapi simbol kepada keinginan akar umbi untuk kembali kepada asas perjuangan PKR, idealisme reformasi 1998.

Penglibatan beliau dalam politik bermula sewaktu negara berdepan krisis moral dan politik, menjadikan beliau ikon perjuangan dari awal sehingga beliau pernah dijulang sebagai Puteri Reformasi.

Ketika waktu muda sewajarnya menikmati kehidupan yang lebih tenang seperti orang lain, Nurul Izzah sudah di kancah perjuangan reformasi apabila ayahnya dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan didakwa dengan pertuduhan taboo.

Dari segi pasang surut perjuangan, memang Nurul Izzah pernah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR pada 2018 kerana kecewa dengan arah tuju politik negara selepas PH menang PRU14.

Namun, beliau kembali bertanding kali ini, dan ahli parti menyambut baik kepulangan itu, melihatnya sebagai penebusan idealisme.

Karakter beliau yang lebih sederhana dan kurang bersifat elitis memikat ahli yang merindui pemimpin yang mendengar dan tidak hanya mengarah.

Pilihan terhadap Nurul Izzah menandakan keinginan akar umbi untuk politik yang lebih lembut dan tidak didominasi strategi berat sebelah atau retorik teknokratik.

Ia juga menunjukkan ahli mahu kestabilan dan tidak mahu parti terus terperangkap dalam pertelingkahan dalaman.

Kejatuhan strategis

Rafizi Ramli datang dari latar belakang profesional, seorang jurutera, ahli Parlimen, dan pengasas INVOKE.

Beliau terkenal kerana membongkar skandal NFC dan membina naratif politik berasaskan data dan strategi.

Namun, kekalahan beliau kali ini menandakan perubahan dalam citarasa politik dalaman PKR.

Memang Rafizi menerajui strategi pilihan raya PKR dalam PRU14 dan PRU15 melalui INVOKE, tetapi kemenangan PRU15 tidak mencapai majoriti, menyebabkan PKR terpaksa bergantung kepada kerjasama dengan BN.

Ini telah menimbulkan persepsi bahawa strategi Rafizi “tidak cukup” meyakinkan walaupun ada menyatakan bebanan ini bukan diletak sebagai bola tanggung Rafizi semata-mata.

Gaya komunikasi Rafizi di media sosial, yang kadangkala sinikal dan mengkritik lawan secara terbuka (termasuk sesama dalam parti), mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli.

Yang dilawan ialah musuh di luar parti dan bukannya ‘menembak’ kaki sesama sendiri dalam parti.

Kekalahan ini menandakan ahli menginginkan pemimpin yang bukan sahaja pintar, tetapi juga bersifat kolektif dan inklusif.

Ia mungkin membuka ruang untuk Rafizi menilai semula pendekatannya, sama ada mahu kekal sebagai “pengarah strategi”, atau kembali sebagai pemimpin akar umbi yang lebih banyak turun ke bawah.

E-undi

Rafizi turut membangkitkan isu e-undi yang dianggap membuka ruang kepada manipulasi dan pembelian undi.

Walaupun e-undi sepatutnya melambangkan kemajuan dan ketelusan, kebimbangan berkaitan keselamatan siber dan kawalan sistem masih wujud.

Isu ini menjadi cabaran moden PKR yang melibatkan integriti pemilihan parti.

Lebih-lebih lagi terdapat aduan bahawa sistem log masuk e-undi boleh diakses oleh pihak ketiga yang membantu ahli yang tidak celik teknologi, dan ini membuka ruang kepada unsur paksaan atau ‘vote-buying’.

Sekiranya, tiada audit bebas diumumkan secara terbuka selepas pemilihan, menjadikan sistem sukar dipercayai oleh pihak yang kalah.

Namun, penyelesaian bukan dengan menolak teknologi, tetapi memperbaikinya.

PKR perlu melibatkan pihak ketiga seperti badan pemantau bebas atau institusi akademik untuk mengesahkan proses e-undi. Sistem “ballot tracking” (jejak undi) juga boleh dimasukkan agar pengundi dapat memastikan undi mereka dikira tanpa membuka kerahsiaan undi.

Isu Ramanan

Isu yang dibangkitkan oleh Rafizi berkaitan R. Ramanan yang bertanding walaupun belum cukup tempoh keahlian menyentuh soal integriti.

Jika benar, ia menimbulkan persoalan serius dan ini mengundang persoalan sama ada peraturan hanya terpakai kepada yang tidak rapat dengan kepimpinan dan seolah-olah bersifat ‘double standard’ dan ini menjadi ujian besar kepada etika parti.

Dalam Perlembagaan PKR menyatakan seseorang mesti menjadi ahli aktif untuk tempoh tertentu sebelum layak bertanding.

Pengecualian boleh diberikan atas kuasa Presiden parti. 

Namun tindakan ini dipersoalkan seolah-olah ia adalah pelanggaran kepada prinsip keadilan dan meritokrasi.

Ia juga seolah-olah memberi isyarat bahawa masih wujud pengaruh elitisme dan ‘orang dalam’ dalam membuat keputusan penting, bertentangan dengan semangat reformasi.

Bagi bergerak ke depan, PKR perlu segera membentuk tribunal pemilihan yang bebas dan kekal, agar sebarang aduan boleh dinilai secara terbuka dan adil.

Jika tidak, semangat akar umbi akan terus terhakis.

GAMBAR hiasan.

PRN Sabah

Pilihan raya negeri Sabah akan menjadi ujian seterusnya bagi keupayaan PKR dalam mendengar suara rakyat tempatan dan menyesuaikan strategi nasional ke dalam konteks tempatan.

Khususnya Sabah yang mempunyai isu unik seperti pendatang tanpa izin (PTI), pembangunan luar bandar yang terpinggir, dan tuntutan autonomi wilayah.

Jika PKR meletakkan calon yang kurang cakna isu tempatan atau meletak calon paying terjun, maka akan dianggap tidak sensitif dengan cita rasa tempatan.

Parti juga perlu bekerjasama rapat dengan tokoh tempatan seperti Christina Liew dan Darrell Leiking bagi menyatukan sokongan pelbagai kaum.

Naratif yang dibawa mesti bersifat “Sabah first” dengan penekanan kepada keadilan wilayah, sambil membawa visi reformasi nasional dan ini boleh menjadi model baru reformasi yang berakar lokal tetapi berpandangan nasional.

Rumusan

PKR kini berada di persimpangan jalan. Keputusan pemilihan ini bukan sekadar menukar kepemimpinan, tetapi menentukan arah masa depan parti.

Parti harus menghindari membuat kesilapan sehingga boleh terpudarnya kepercayaan rakyat. 

Prinsip tanpa kompromi perlu ditegakkan tanpa perlu melihat jangka pendek atau demi kemenangan segera.

Bagi bergerak ke depan PKR sewajarnya membuat gelombang gerakan untuk memperkukuh struktur dalaman, memperbaiki sistem e-undi, menghapuskan ‘double standard’, dan menghormati suara akar umbi, agar semangat reformasi dapat dibugarkan. 

Nurul Izzah kini membawa obor idealisme yang diperbaharui. Rafizi pula mesti memilih, menjadi suara pembaharuan dari luar, dan kembali mengakar di bawah.

Sudah pasti,  untuk PKR, masa depan bukan ditentukan oleh sesiapa yang menang atau kalah, tetapi oleh bagaimana mereka belajar daripada pergolakan yang berlaku ketika pemilihan dan keputusan tersebut.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalahpenganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Kebakaran besar di Sibu, 1889 ketika bomba belum wujud
Next: Putrajaya heret bayaran interim selama 5 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.