KUCHING: Sebanyak enam buah premis perniagaan telah dikompaun kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam satu operasi pemantauan di kawasan Kuching pada Rabu lalu.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak Billy Sujang berkata, premis berkenaan tidak mematuhi SOP PKPP sama ada tidak mengambil suhu badan, tidak merekod kehadiran dan tidak membuat nyahkuman mahupun sanitasi di premis seperti mana dikehendaki dalam SOP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Operasi tersebut adalah termasuk larangan merokok di tempat makan dan pemantauan pematuhan SOP PKPP di kawasan Gita, Metro City, Matang Baru dan Demak, dalam Daerah Kuching sejajar dengan pembukaan semula sektor ekonomi.
“Dalam operasi tersebut sebanyak 63 premis telah diperiksa merangkumi 30 kedai makan, 29 kedai peruncitan dan serbaneka serta empat kedai gunting rambut atau salon,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, masih terdapat kedai makan yang menyediakan bahan pencuci sebagai cecair pencuci tangan tanpa menyediakan sinki dan pili air, perbuatan ini boleh membahayakan kesihatan orang lain.
“Dalam operasi sama, sebanyak 17 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada 17 individu dengan 15 atas kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) – merokok di tempat makan dan dua atas Peraturan 12(1)(b)- menyediakan tempat abu rokok dibawah PPKHT 2004.
“Kesalahan ini di bawah Peraturan 11(1) boleh dikompoun sehingga RM250 atau diambil tindakan di mahkamah jika gagal membayar kompoun dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.
“Manakala kesalahan menyediakan tempat abu rokok di permis tempat makan adalah di bawah Per 12(1)(d) dan boleh dikompoun sebanyak RM250 atau didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi enam bulan,” jelasnya.
Tegasnya, larangan merokok di tempat makan sentiasa berkuatkuasa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Operasi Bersepadu tersebut melibatkan 44 anggota penguatkuasa dengan 24 dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi.
Billy dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada pengusaha sektor ekonomi yang telah mematuhi SOP berkaitan dan adalah berharap usaha seperti ini akan diteruskan dalam usaha melindungi diri, keluarga, masyarakat dan negeri daripada jangkitan Covid-19.
Oleh Zarina Abdullah