
BEKENU: Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) peringkat RISDA Bahagian Miri menjadi platform penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif kepada golongan pekebun kecil di kawasan ini.
Usaha berterusan RISDA sangat diharapkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, RISDA sebagai badan berkanun di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kerajaan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara.
Katanya, pelbagai bantuan disediakan termasuk bantuan tanam semula getah, bantuan keusahawanan, khidmat nasihat tanaman getah serta bantuan tuisyen rakyat bagi membantu komuniti pekebun kecil meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka.
“Program seperti ini amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan bantuan dan program RISDA dapat disampaikan dengan lebih efisien kepada golongan sasar di samping mengeratkan hubungan antara RISDA dan penduduk kampung,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada PKPK di Kampung Pejuang Kelulit di sini hari ini.
Kata, pekebun kecil memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi luar bandar dan pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan komuniti tersebut terus berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, pelbagai inisiatif dan sumber pendapatan perlu diketengahkan bagi membantu memaksimumkan pendapatan isi rumah.
“Sehubungan itu, semua pihak agar bersama-sama membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil dan mencapai objektif program yang dilaksanakan,” jelasnya.
Justeru itu, berharap semua pekebun kecil dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan, kursus dan peluang yang disediakan melalui program anjuran RISDA demi masa depan yang lebih baik, tambahnya lagi.
Hadir sama ialah Pengarah RISDA Sarawak Shaharuddin Saberi, Pegawai Tadbir Farhan Iskandar Goh wakil Pegawai Daerah Subis dan Pemanca Dr Ali Mudin serta Penghulu Junit Mulok.