KUALA NERUS: Bagi peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan untuk menjana pendapatan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Isnin membawa rahmat kepada peniaga kecil-kecilan untuk melariskan semula produk jualan mereka di sekitar Terengganu.
Bagi seorang peniaga pavlova, Siti Nur Ain Roslan, 31, PKPB yang tidak lagi mengehadkan pergerakan dengan terlalu ketat berbanding Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikannya peluang untuk mengiklankan pencuci mulut yang berasal dari Perancis itu dengan lebih meluas menggunakan khidmat dua penghantar makanan.
“Sebenarnya, sejak PKP bermula 18 Mac lepas pun, saya masih menerima tempahan pavlova namun ia agak terhad kepada penduduk sekitar sahaja memandangkan ketika itu penghantaran hanya dibenarkan untuk 10 kilometer (km) sahaja.
“Alhamdulillah, sejak PKPB, saya mula menerima tempahan daripada pelanggan yang agak jauh kerana ‘runner’ sudah boleh bergerak ke kawasan di daerah berhampiran seperti Kuala Terengganu dan Marang,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.
Selain dua penghantar makanan, Siti Nur Ain turut mempunyai dua pekerja untuk membantu proses pembuatan pavlova dan menjualnya pada harga RM38 untuk saiz enam inci, RM50 (saiz lapan inci) dan saiz 10 inci pula dijual pada harga RM100.
Meskipun pavlova bukanlah pencuci mulut yang sinonim dengan rakyat Terengganu, namun permintaannya sentiasa ada terutama dalam kalangan anak muda dan mereka berasal dari luar Terengganu yang kini menetap di negeri ini.
Pemilik Ain Roslan Enterprise itu berkata, beliau sangat mengutamakan kualiti dengan menggunakan buah-buahan import yang segar agar dapat memenuhi citarasa pelanggan.
“Proses pembuatan pavlova agak rumit, perlu dilakukan dengan hati-hati serta penuh kesabaran… tidak boleh ala kadar sahaja kerana ia adalah pencuci mulut premium yang mempunyai keunikan rasa tersendiri,” katanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Universiti Sains Malaysia itu mula menceburi bidang pembuatan kek, biskut dan roti pada 2015 dan banyak mengiklankan produk jualannya dalam laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Alhamdulillah, pada saat masih ada peniaga lain yang runsing dengan untung nasib perniagaan mereka, saya masih mampu berkongsi rezeki dengan dua penghantar makanan dan dua pembantu hasil jualan pavlova ini.
“Saya cuba memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial kerana ia adalah platform pemasaran terbaik secara percuma dan kini saya sudah bersedia untuk fokus menerima tempahan menjelang Aidilfitri pula,” katanya yang menerima antara 30 hingga 40 tempahan pavlova setiap hari.- BERNAMA