SIBU: Gara-gara ingin menghilangkan kebosanan ketika masa lapang terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan lebih setahun yang lalu, seorang wanita mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti bercucuk tanam di kawasan rumahnya.
Walaupun ketika itu pelbagai aktiviti lain yang tular di laman sosial seperti membuat kuih tradisional penyaram, kopi dalgona dan sebagainya, namun beliau lebih berminat untuk memulakan aktiviti menanam.
Bermula dengan hanya menanam semula lebihan sayuran dari dapur seperti daun bawang, cili, bawang merah, serai dan sebagainya, kini terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang ditanam di “kebun mini” miliknya.
Menurut Lydiawati Ali Basah,34, di peringkat awal, beliau hanya menanam tanaman yang kerap digunakan dalam masakan.
“Mulanya, saya hanya menanam cili, daun pandan, serai, daun bawang serta tanaman lain yang tidak memerlukan ruang yang besar.
“Lama-kelamaan, timbul pula keinginan untuk menanam tanaman lain seperti halia, buah bidara, limau purut, daun kari, dan pelbagai jenis ulaman serta beberapa jenis bunga.
“Tambahan pula, kini saya sudah memiliki ‘rumah hijau’ di halaman rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di halaman rumahnya, baru-baru ini.
Ibu kepada dua cahayamata ini memberitahu, beliau menggunakan bekas-bekas terpakai seperti botol plastik, pasu, kotak polisterina dan bekas sabun pencuci pakaian untuk menanam tanaman.
Katanya, beliau terpaksa menggunakan bekas sedemikian kerana halaman rumahnya yang memiliki ruang terhad.
“Saya tinggal di kawasan perumahan namun mempunyai sedikit kawasan di bahagian tepi dan belakang rumah,” ujarnya.
Wanita yang berjiwa kental ini mengakui beliau kurang berminat serta tidak memiliki sebarang ilmu pengetahuan mengenai aktiviti bercucuk tanam pada awalnya.
Bagaimanapun, katanya, perasaan itu berubah setelah melihat tanamannya menjadi dan hidup subur.
“Minat terhadap aktiviti menanam semakin menjadi apabila tumbuhan yang ditanam mula membuahkan hasil dan boleh dipetik,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Youtube sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat tentang cara-cara menjaga sesuatu tanaman.
Selain itu, beliau turut mempelajari cara-cara untuk menghasilkan baja organik melalui saluran Youtube.
Apa yang lebih menarik, ilmu pengetahuan dalam aktiviti bercucuk tanam ini dikongsi bersama dengan adik iparnya, Nur Hidayah Arif,28, yang memiliki minat yang sama.
Menurut Nur Hidayah, terdapat beberapa panduan asas dalam penjagaan tanaman yang perlu diketahui termasuklah dari proses penyediaan tanah.
Kebiasaannya, beliau menggunakan tepung dolomit sebagai asas untuk meneutralkan tanah.
Katanya, tepung dolomit adalah baja serbuk yang dihasilkan daripada mineral dolomit, yang tergolong dalam kelas karbonat, dengan mengisar kepada pecahan terkecil.
“Tepung dolomit dapat membantu melonggarkan tanah dan memperkayakannya dengan mineral yang berguna. Sebagai contoh, ia mengandungi banyak kalsium. Bahan ini memberi kesan luar biasa kepada sistem akar tumbuh-tumbuhan, meningkatkan kecekapan kerja.
“Tepung dolomit juga mengandungi magnesium yang merangsang fotosintesis. Bahan ini mempunyai kesan yang baik terhadap aktiviti penting pelbagai mikroorganisma yang berguna untuk tumbuh-tumbuhan,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat pelbagai panduan lain yang perlu diambil kira dalam memastikan tanaman kita tumbuh dengan subur.
“Namun, kita perlu mengetahui apakah panduan yang bersesuain dengan tanaman kita.
“Panduan yang diberikan haruslah diteliti terlebih dahulu sebelum diguna kerana sesuatu tumbuhan mempunyai panduan yang berbeza dari yang lain,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD