ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Keputusan kerajaan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi perkara yang memerlukan pengorbanan banyak pihak.
Langkah kerajaan itu tentunya bagi memastikan keselamatan rakyat dan rakyat pula perlu patuh dengan tidak bergerak secara bebas malah ada yang terpaksa bekerja dari rumah.
Bagi pekerja kontrak, Law Yew Hap, 57, dari jalan Kejatau Sri Aman, beliau juga mengambil pendekatan sama dengan bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP.
Bercerita mengenai aktiviti sepanjang berada di rumah, Law berkongsi beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di dalam rumah.
“Sepanjang PKP yang telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, saya mengambil keputusan iaitu kemahiran yang saya ‘aktifkan’ semula adalah melukis yang sebelum ini menjadi antara aktiviti saya sepanjang PKP dilaksanakan.
“Semalam merupakan hari ke-40 arahan PKP dijalankan, dan sepanjang tempoh itu saya telah berjaya menghasilkan sebanyak 10 lukisan untuk dijadikan koleksi simpanan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di kediamannya di Jalan Kejatau semalam.
Beliau yang turut menceritakan kemahiran beliau mula melukis sejak berumur 17 tahun, dan sehingga kini umur beliau menjangkau 57 tahun masih lagi aktif menghasilkan beberapa buah lukisan dengan koleksinya terkumpul beberapa tahun sehingga melebihi 100 jenis lukisan di rumahnya.
Law berkata sepanjang tempoh PKP dilaksanakan itu, beliau turut mengambil kesempatan menghasilkan lukisan terutamanya lukisan petugas barisan hadapan yang sedang berjuang dan bertarung nyawa menghadapi penularan wabak Covid-19.
“Dalam banyak-banyak hasil lukisan yang paling saya gemari ialah gambar potret Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, serta petugas barisan hadapan Covid-19, dan perancangan selepas ini saya juga akan menghasilkan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” ujar beliau.
Katanya, sehingga kini dia menghasilkan ratusan lukisan di rumahnya, dengan lukisan terbabit bukanlah untuk dijual dan hanya sekadar memenuhi masa lapang serta koleksi beliau dengan pelbagai corak, antaranya lukisan potret, dekorasi dan landskap, lukisan 3D, mural seramik atau mozek.
Tambahnya, dari segi penghasilan, setiap lukisan tersebut mampu disiapkan dari tiga hingga empat hari, tempoh sesebuah lukisan disiapkan bergantung kepada tema, warna, dan keluasan kaki persegi.
Idea pula kata Law, sentiasa mencurah-curah dan minat yang suka melihat gambar membantu memudahkan penghasilan lukisannya.
“Saya suka melihat gambar, melalui cara itu sentiasa mendapat idea untuk menghasilkan sesuatu yang baru, kebanyakan lukisan saya kini dalam bentuk 3D (tiga dimensi) dan saya akan mempelbagaikan lagi mengikut trend semasa,” katanya
Katanya lagi, bagi mengekalkan hasil lukisan yang berkualiti dan cantik, dia sentiasa melakukan pelbagai percubaan dengan melihat hasil lukisan daripada pelukis di dalam media sosial seperti Facebook dan Youtube.
Law juga berhasrat untuk mencari lebih ramai pelapis muda tanpa mengira usia dan bangsa.
“Saya juga bersedia menerima tempahan daripada penggemar-penggemar hasil lukisan saya, mereka ini bolehlah menghubungi saya atau datang sendiri ke kediaman kami di Jalan Kejatau Sri Aman.
“Saya juga bercadang untuk membuka satu kelas tuisyen kanak-kanak dengan mengajar mereka melukis terutamanya pelajar sekolah selepas PKP ini,” ujar beliau.