PKNS bawa kemeriahan aksi Final Piala Dunia FIFA 2026 di Aneka Walk

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ORANG ramai dijangka membanjiri Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam bagi menyaksikan Siaran Langsung Mega Final Piala Dunia 2026 PKNS Homes pada 19 hingga 20 Julai ini. Foto Facebook PKNS Homes

SHAH ALAM:  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan Siaran Langsung Mega Final Piala Dunia 2026 PKNS Homes, sebuah program tontonan secara langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14, di sini dari 19 hingga 20 Julai ini.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan, program selama 12 jam itu bermula 5 petang hingga 5 pagi dan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung yang bakal menikmati pengalaman menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia dalam suasana festival yang dipenuhi pelbagai aktiviti menarik.

Dianjurkan dengan kerjasama Selangor FC, program itu bukan sekadar menawarkan pengalaman menyaksikan acara bola sepak terbesar dunia secara beramai-ramai, malah turut menjadi platform untuk menghidupkan ruang awam menerusi gabungan elemen sukan, hiburan, gaya hidup dan keusahawanan dalam satu acara.

“Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan aksi final Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadualkan bermula pada 3.00 pagi, 20 Julai, malah boleh menikmati pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan e-sukan, sesi bertemu pemain Selangor FC, permainan interaktif, cabutan bertuah, jualan makanan serta pelbagai aktiviti menarik seawal 5.00 petang, 19 Julai.

“Lebih daripada sekadar acara tontonan, Siaran Langsung Mega Final Piala Dunia 2026 PKNS Homes turut membuka peluang kepada syarikat korporat dan rakan strategik untuk memperkukuh jenama masing-masing menerusi interaksi secara langsung melalui ruang pameran, aktiviti promosi serta penglibatan bersama komuniti,” menurut kenyataan itu.

PKNS memaklumkan, penganjuran itu turut mencerminkan komitmen PKNS dalam menghidupkan Aneka Walk sebagai hab komuniti yang aktif di bawah pembangunan SA Sentral.

Menerusi acara berskala besar seumpama itu, PKNS menyasarkan peningkatan kunjungan orang ramai, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta mengukuhkan Aneka Walk sebagai destinasi gaya hidup dan pusat aktiviti komuniti pilihan warga Shah Alam.

Sehubungan itu, PKNS mempelawa orang ramai hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merasai sendiri kemeriahan malam final Piala Dunia FIFA 2026 dalam suasana yang dijangka dipenuhi sorakan, hiburan dan pelbagai pengalaman menarik di tengah-tengah bandar raya Shah Alam. – Bernama