SARATOK: Penubuhan Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Ulu Krian dan Budu (PKMKKUKB) yang didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh perpaduan serta memperkasakan kepimpinan masyarakat di kawasan Ulu Krian dan Budu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada persatuan berkenaan yang berjaya memperoleh pendaftaran rasmi daripada ROS pada 10 April lalu, sekali gus membolehkan pertubuhan itu beroperasi secara lebih tersusun, sistematik dan berkesan.

Menurut beliau, penubuhan persatuan itu menjadi platform yang menghimpunkan ketua-ketua masyarakat bagi membincangkan, merancang dan mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi oleh ahli serta penduduk setempat demi kepentingan bersama.
Katanya, persatuan tersebut turut berperanan sebagai medium untuk memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
“Melalui wadah ini, segala pandangan dan cadangan dapat disalurkan secara lebih teratur, sekali gus membantu mempercepatkan penyelesaian terhadap isu-isu pembangunan dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama PKMKKUKB 2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, di sini, kelmarin.

Mesyuarat agung berkenaan dipengerusikan oleh Tuai Rumah Sagai selaku Pengerusi Protem dan dihadiri 40 orang tuai rumah, selain Penghulu Anyom Kinyeh yang bertindak sebagai penasihat persatuan.
Pada mesyuarat itu, ahli-ahli persatuan turut memilih barisan jawatankuasa baharu bagi menerajui PKMKKUKB untuk penggal 2026 hingga 2029.
Friday berharap jawatankuasa yang dipilih dapat menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab serta memainkan peranan secara proaktif dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat di Ulu Krian dan Budu menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan serta ahli-ahli Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Ulu Krian dan Budu.





