
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 23,714 Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile telah dilaksanakan di seluruh negara sejak 2021 hingga 2024, memberi manfaat kepada kira-kira 648,502 penduduk luar bandar, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran lokasi penganjuran program tersebut.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menerima sambutan amat menggalakkan dan akan terus diperkasa serta ditambah baik dari semasa ke semasa.
“PKD Mobile akan dijadikan sebagai salah satu pemangkin utama atau game changer dalam usaha kerajaan memperkasa masyarakat luar bandar, selari dengan Aspirasi Desa Madani.
“Kejayaan program ini membuktikan keberkesanannya dalam memperluas capaian perkhidmatan kerajaan ke kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program PKD Mobile yang diadakan di pekarangan Parkir Lot Pasaraya Aiman, di sini hari ini.
Menurut Rubiah, selain meneruskan pelaksanaan PKD Mobile berskala besar, KKDW turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Mini PKD Mobile yang menyasarkan lokasi lebih terpencil seperti rumah panjang dan kampung-kampung pedalaman.
“Mini PKD Mobile berkonsepkan pendekatan sama seperti PKD Mobile, tetapi dalam skala lebih kecil, lebih fleksibel, dan lebih dekat dengan komuniti sasaran.
“Ia bertujuan memastikan tiada komuniti desa tercicir daripada menerima perkhidmatan dan maklumat kerajaan, sesuai dengan prinsip keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan menyantuni rakyat merangkumi bukan hanya mendengar, tetapi memahami dan bertindak berdasarkan keperluan sebenar masyarakat luar bandar.
“Hanya dengan pendekatan sebegini, dasar yang dirancang kerajaan dapat disesuaikan dengan realiti di lapangan.
“PKD adalah simbolik kehadiran KKDW di tengah masyarakat luar bandar, bagi memastikan sinergi antara kerajaan dan rakyat terus utuh,” ujarnya.
Rubiah menambah, pada masa ini terdapat 191 PKD fizikal di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Mini RTC.
Inisiatif ini katanya, bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat desa, sejajar dengan moto PKD iaitu “Satu Hentian, Pelbagai Perkhidmatan.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) KKDW Dato’ Dr Roslan Mahmood, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW Noraina Masduki @ Abdul Hanan, dan Pengarah Bahagian Agromakanan dan Program Khas RISDA Nor Azwa Md Salim.
Oleh Adi Safarman